Siakap Keli
Kredit gambar: Google

(Video) Hebat Tapi ‘Menyeramkan’, Keadaan Kolam Renang Paling Dalam Di Dunia, Ada Binaan Unik Seolah-olah Di Dunia Lain

Selama ini kita selalu terdengar pelbagai ciptaan-ciptaan unik di seluruh dunia dibina dengan sesuatu pencapaian tertentu.

Misalnya menara tertinggi di dunia, rumah tercantik di dunia, lelaki tertampan di dunia dan banyak lagi.

Tapi tahukah anda, baru-baru ini muncul satu lagi rekod baharu iaitu kolam renang terdalam di dunia.

Ya, kolam renang paling dalam di dunia ini dinamakan sebagai DeepSpot, dibina bukan untuk berenang semata-mata, tetapi untuk banyak tujuan yang bervariasi.

Kredit gambar: Daily Mail

Mari ikuti 10 fakta menarik tentang DeepSpot ini:-

1. DeepSpot terletak di bandar Mszczonow, berdekatan Warsaw di Poland, baru sahaja dirasmikan pembukaannya pada Sabtu baru-baru ini.

2. Dikatakan kedalamannya mencapai kira-kira 45 meter dalam (beranggaran 148 kaki ke dasar), manakala jumlah isipadu airnya sebanyak 8,000 meter padu iaitu menyamai 27 buah kolam renang saiz Olimpik.

3. Tidak seperti kolam renang biasa, Deepspot dapat dibuka walaupun terdapat sekatan pergerakan COVID-19 di Poland kerana pusat latihan di sana menawarkan kursus.

4. Biasanya kolam renang yang kita nampak, hanyalah kolam kosong semata-mata. Tapi tidak bagi DeepSpot ini, di dalamnya ‘dipenuhi’ dengan pelbagai binaan unik yang lain seperti gua bawah laut dan rekaan binaan kaum Maya. Penyelam pasti ingin menyelam lebih lama kerana mahu menghayati ‘pengembaraan’ ke dunia lain di dalam air ini.

5. Seakaan akuarium bersaiz mega, tapi tiada ikan. Ya, keunikan DeepSpot ini adalah tiada sebarang hidupan marin diletakkan di dalam kolam ini, termasuklah ikan-ikan, batu karang tiruan dan sebagainya.

Kredit gambar: Daily Mail/REUTERS

6. DeepSpot boleh jadi tempat percutian menarik. Ia bukan sahaja kolam renang semata-mata, malah di situ pun ada bilik hotel untuk penginapan, restoran, terowong bawah air serta bilik persidangan.

7. Dibuka untuk orang awam yang sukakan aktiviti air. Bagi yang suka berenang, boleh manfaatkan kawasan permukaan air. Manakala bagi yang suka menyelam; sama ada scuba atau snorkeling, kolam ini juga boleh menjadi ‘laut’ tiruan buat mereka.

8. Tidak hanya sekadar untuk orang awam bersuka-ria, malah kolam ini juga menjadi tempat latihan bagi anggota penguatkuasa seperti tentera dan bomba.

9. DeepSpot telah ‘mengalahkan’ rekod kolam terdalam di dunia terdahulu yang sebelum ini dipegang oleh kolam Y-40 di Itali. Kolam tersebut hanya berkedalaman sekitar 42 meter atau 130 kaki sahaja.

10. Bagaimanapun, status DeepSpot sebagai kolam terdalam di dunia pada hari ini mungkin akan berakhir satu masa nanti apabila pesaing baharunya, kolam The Blue Abyss di United Kingdom dijangka siap pada 2021 nanti. Kolam tersebut pula dikatakan mempunyai kedalaman sekitar 60 meter atau 164 kaki ke dasar.

Sumber: Daily Mail, Independent, Euro News, AFP

Jom tengok video ini di Youtube Siakap Keli dan jangan lupa subscribe ya.

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'