Siakap Keli
Gambar: Verywell Family

Doktor Ini Kongsikan Perkara Yang Ibu Bapa Perlu Periksa Jika Anak Terjatuh Atau Terhantuk

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Umum telah mengetahui bahawa kanak-kanak sememangnya aktif dan sukar untuk duduk diam.

Justeru daripada itu, pelbagai risiko yang boleh terjadi kepada kanak-kanak sekiranya aktiviti mereka tidak dipantau.

Kecederaan disebabkan terhantuk, terjatuh dan sebagainya sudah tidak asing lagi bagi golongan ini.

Oleh yang demikian, ibubapa perlulah sentiasa berwaspada dan ambil tahu tentang perkara yang perlu dilakukan sekiranya anak mereka terjatuh dan terhantuk kepala.

Seorang doktor bernama Kamarul Ariffin Nor Sadan ada berkongsikan tentang perkara yang ibu bapa perlu periksa pada anak mereka sekiranya anak mereka itu terhantuk. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti perkongsiannya seperti berikut:

“Anak saya jatuh dari stroller. Lepas tu dia nangis tak henti-henti,” kata si ibu dalam keadaan panik.

Anak dia yang berumur sekitar setahun, jatuh dari stroller, kemudian menangis tak henti-henti walaupun dah dipujuk oleh si emak. Bila saya lihat sahaja keadaan bayi itu, terus saya gemuruh.

Ketika saya sentuh dan periksa, ternyata apa yang saya khuatiri berlaku sememangnya sedang terjadi. Otot lehernya mengeras, tangan melurus, dan kakinya melunjur. Allahu!

Ini tandanya bayi ni mula mengalami sawan, dan itu bermakna telah berlaku kecederaan otak. Ada beberapa lagi tanda saya kena periksa. Ibubapa perlu buat perkara yang sama jika anak jatuh.

1. Lebam/lebam: ini tanda kecederaan tisu badan seperti otot, tendon, lemak, kulit dan kapilari(salur darah halus). Jika ia sangat keras, besar, dan berwarna sangat gelap, bawa jumpa doktor. Khuatir berlaku hematoma, pendarahan di bawah kulit.

2. Luka: jika nampak darah, periksa saiz luka. Jika lebih lebar dari lebar satu jari, perlu bawa jumpa doktor. Sementara itu, cuci sekali dengan air bersih, kemudian tekap. Tak usah cuci berulang kali. Darah hanya akan berhenti bila kita tekap luka.

3. Retak: jika ada nampak keganjilan dalam bentuk kepala anak, cuba raba kepalanya. Khuatir ada keretakan pada tengkorak. Hanya keretakan sehingga tulang tengkorak terbenam atau terangkat dapat dirasa. Jika tak pasti, bawa jumpa doktor.

4. Menangis tak henti (inconsolable cry): Jika anak kecil(umur kurang 3 tahun) menangis tanpa boleh dipujuk, kemungkinan anak mengalami sakit kepala. Sakit kepala berpanjangan mungkin akibat kecederaan otak. Bawa jumpa doktor.

5. Pandangan kabur: bahagian otak yang memproses penglihatan terletak di bahagian belakang kepala. Jika terhantuk di bahagian belakang kepala dan selepas itu pandangan jadi kabur, mungkin ada kecederaan otak. Bawa jumpa doktor.

6. Pengsan: jika anak tidak sedarkan diri selepas terhantuk, mungkin berlaku kedeceraaan otak. Kecederaan otak yang boleh berlaku adalah: gegaran(consussion), lebam(contusion), atau pendarahan. Bawa jumpa doktor.

7. Muntah: kadang-kadang lepas terhantuk, anak akan muntah. Tetapi jika anak muntah berterusan, ia mungkin tanda ada kecederaan otak. Muntah-muntah ini boleh disebabkan oleh tekanan dalam otak meningkat. Bawa jumpa doktor.

8. Sawan: ini juga salah satu tanda berlakunya kecederaan otak. Simptom sawan adalah, anak mata naik ke atas, mulut berbuih, bibir biru, kejang leher serta tangan dan kaki, terkencing, terberak, dll. Salah satu simptom ini berlaku, jumpa doktor.

Anak-anak perlu dipantau dalam masa 24-48 jam selepas terjatuh. Sebahagian simptom yang disebutkan tadi kadang-kadang tidak terjadi serta merta selepas jatuh, tetapi terjadi lewat sedikit. Maka sekurang-kurangnya seharian.

Jika tiada tanda-tanda yang membimbangkan, boleh beri Paracetamol dan letakkan tuaman ais pada kawasan yang terhantuk untuk mengurangkan sakit dan mengelakkan bengkak yang besar. Boleh tuam selama 5-10 minit dan diulang 3 kali sehari.

Nasihat terakhir: Jika anak jatuh, buatlah keputusan ikutlah naluri hati seorang ibu. Walaupun anak kelihatan elok sahaja tetapi ibu risau dan ragu, maka bawalah jumpa doktor. Tak apa jika terlebih waspada, daripada terlebih ambil ringan.

Oh ya! Bayi yang sawan tadi saya stabilkan kondisi dia, dan panggil ambulans untuk bawa ke hospital untuk pemeriksaan dan pemantauan lanjut.

Semoga bermanfaat!

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Tip Kesihatan & Perubatan

Untuk lebih banyak tip kecemasan, boleh dapatkan ebook ‘Formula Kecemasan Untuk Si Kecil’ di link ini:

https://kitkecemasan.onpay.my/order/form/kecemasan/DrKamarul

Sumber: Kamarul Ariffin Nor Sadan

Aqmal Ezany

I write what is right