Siakap Keli
Kredit: Bernama

Johor Peruntuk RM51 Juta Transformasi Sektor Pertanian, Industri Makanan

ISKANDAR PUTERI, 26 Nov (Bernama) — Johor memperuntukkan sekurang-kurangnya RM51 juta untuk mentransformasikan sektor pertanian dan industri makanan agar seiring dengan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor, kata Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Beliau berkata menerusi peruntukan itu, kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai program termasuk Program Jaminan Bekalan Makanan dengan peruntukan sebanyak RM6 juta, melibatkan kawasan tanaman seluas 2,168 hektar.

“Selain itu, kerajaan negeri akan melakukan Program Peningkatan Hasil Padi di Luar Jelapang dengan peruntukan sebanyak RM6 juta, di samping turut memfokuskan penerokaan pasaran eksport baharu, pembangunan usahawan tani serta industri ternakan daging dan ruminan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Sebagai menghargai syarikat-syarikat peneraju dan pengusaha dalam sektor pertanian dan agromakanan pula, kerajaan negeri buat pertama kali akan menyediakan geran sebanyak RM2 juta bagi melaksanakan program kolaborasi, katanya.

Katanya kerajaan negeri juga berhasrat meningkatkan pengeluaran nanas dengan peruntukan berjumlah RM19 juta memandangkan 58 peratus keluasan tanaman nanas Malaysia terletak di Johor, katanya.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan mewartakan lima kawasan sebagai Zon Industri Perikanan (ZIP) iaitu Mawai, Kesang Laut dan Parit Keroma adalah untuk ternakan ikan air tawar; Kukup untuk ternakan kupang dan Sungai Johor untuk ikan marin,” kata Hasni.

Beliau berkata bagi memacu dan merancakkan semula sektor pelancongan pasca-COVID-19, kerajaan negeri memperuntukkan RM14 juta kepada Tourism Johor untuk melaksanakan beberapa inisiatif, termasuk meneliti semula Pelan Induk Pelancongan Johor 2014-2023.

“Selain itu, sebanyak RM500,000 akan diperuntukkan untuk membangunkan Johor Tourism Interchange (JTI) bagi mentransformasikan ekonomi digital pelancongan dan akan menghubungkan semua pemilik produk, operator pelancongan serta penggiat industri dalam satu platform digital marketplace.

“Baucar Pelancongan berjumlah RM1.5 juta juga diperuntukkan untuk merancakkan semula segmentasi penginapan serta ‘shopping and retail’ terpilih di negeri ini,” katanya.

Untuk sektor perumahan pula, beliau berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta daripada Tabung Amanah untuk pembinaan Rumah Insan Makmur Johor, iaitu tambahan kepada projek Rumah Mesra Rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan di Johor.

Di bawah inisiatif ini, kira-kira 400 unit rumah akan dibina, katanya.

“Selain itu, untuk merancakkan lagi pembinaan Rumah Mampu Biaya Johor (RMBJ), lima daerah telah dipilih untuk pembinaan projek berkenaan selama tempoh lima tahun dengan peruntukan sebanyak RM310 juta.

“Daerah itu ialah Kluang, Tangkak, Johor Bahru, Batu Pahat dan Pontian, yang mana syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan akan bekerjasama menjayakannya,” kata beliau.

Menurut Hasni, sebagai tambahan kepada projek itu, empat projek Taman Perbadanan Islam akan turut dibangunkan di Pontian, Batu Pahat dan Johor Bahru melalui PIJ Holdings.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.