Siakap Keli
Gambar: Bernama

Jumlah Mangsa Banjir Di Terengganu Meningkat Kepada 530 Orang Pagi Ini

KUALA TERENGGANU, 26 Nov  — Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 530 orang pada 8 pagi ini, berbanding 473 orang pada  Rabu malam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata tiga lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kuala Nerus menjadikan keseluruhan 20 PPS beroperasi setakat ini, berbanding 17 PPS dibuka pada 8 Rabu malam.

“Peningkatan jumlah mangsa ialah di Kuala Nerus iaitu 233 orang (56 keluarga) di tujuh PPS berbanding 180 orang (41 keluarga) di empat PPS sebelum ini.

“Di Dungun pula, enam PPS masih beroperasi menempatkan 132 orang (33 keluarga) berbanding 128 orang (32 keluarga) sebelum ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Jumlah mangsa banjir di empat lagi daerah kekal iaitu 38 orang (11 keluarga) di Terengganu, 18 orang (empat keluarga) di Kemaman, sembilan orang (dua keluarga) di Setiu dan 100 orang (25 keluarga) di Marang.

Sementara itu, Che Adam berkata pihaknya menjangkakan pertambahan PPS dalam tempoh terdekat susulan hujan berterusan sejak awal pagi sehingga kini.

Setakat ini, data daripada Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan tiada sungai utama di Terengganu melepasi paras bahaya dan hanya Sungai Nerus di Setiu merekodkan bacaan 12.52 meter (m) melepasi paras amaran iaitu 12m.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right