Siakap Keli
Gambar: Bernama

Mangsa Banjir Di Melaka Berkurang Kepada 157 Orang Pagi Ini

MELAKA, 26 Nov — Jumlah mangsa banjir di Melaka terus menurun kepada 157 orang melibatkan 38 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 162 orang daripada 40 keluarga, 8 malam tadi.

Hanya tiga pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tunggal di Alor Gajah serta PPS SK Tehel dan PPS SK Parit Gantong di Jasin.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Durian Tunggal masih kekal enam orang melibatkan satu keluarga.

Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata jumlah mangsa di PPS SK Tehel juga kekal sebanyak 91 orang melibatkan 23 keluarga.

“Jumlah mangsa di PPS SK Parit Gantong pula telah berkurang kepada 60 orang melibatkan 14 keluarga pagi ini berbanding 65 mangsa daripada 16 keluarga malam tadi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata enam kawasan masih terjejas ialah Kampung Tehel dan Kampung Parit Gantong di Jasin manakala di Alor Gajah melibatkan Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Pulau dan Kampung Belimbing.

Keadaan cuaca dilaporkan cerah dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan awam.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right