KLUANG, 26 Nov – Sejumlah wang tunai berjumlah lebih RM2.17 juta ditemui dalam sebuah rumah di Kluang di sini kelmarin.
Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khab Mydin Pitchay berkata, wang tunai tersebut adalah antara yang dirampas dalam satu kes jenayah disyaki kegiatan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud.
Difahamkan, satu serbuan telah dijalankan pada hari kejadian dan tiga suspek melibatkan dua lelaki Cina dan seorang wanita Cina berusia lingkungan 27 hingga 40 tahun ditahan.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati kesemua suspek disyaki terlibat memperdayakan orang ramai untuk melabur dalam urus niaga Forex dan Cryptocurrency dengan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa yang singkat.
“Sasaran pelabur (adalah) di seluruh Malaysia terdiri daripada rakyat tempatan dan juga warganegara asing iaitu China, Singapura, Brunei dan beberapa negara lain,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Jelasnya, mangsa-mangsa yang pernah terlibat dengan pelaburan berkenaan serta ahli-ahli sindiket yang lain kini sedang dikenal pasti dan dikesan pihak polis.
Dalam sidang media tersebut, Ayob turut menjelaskan bahawa salah seorang suspek terbabit merupakan individu berpangkat ‘Datuk’ yang baru sahaja menerima gelaran tersebut baru-baru ini di sebuah negeri.
Turut dirampas ialah enam (6) telefon bimbit pelbagai jenama, 10 jam tangan berjenama Rolex bernilai anggaran RM250,000; dua (2) jam tangan berjenama Hublot bernilai RM200,000; 16 keping kad Visa, Master dan debit pelbagai bank; 22 kepingan emas bernilai RM45,000; dua kenderaan berjenama Mercedes Benz dan Range Rover; wang kertas Ringgit Malaysia bernilai RM2,176,835 dan wang kertas matawang negara asing bernilai anggaran RM1.4 juta.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, suspek akan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun, dengan sebatan serta boleh dikenakan denda sekiranya disabit kesalahan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa diminta tampil untuk membuat laporan polis bagi membantu siasatan.






Sumber: Polis Johor