Siakap Keli
Gambar via Bernama

TLDM Usir Dua Bot Nelayan Indonesia Ceroboh Perairan Negara

KUALA LUMPUR, 26 Nov — Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengusir dua bot nelayan Indonesia yang memasuki perairan negara di kawasan berhampiran Pulau Jarak, Perak petang semalam.

Tindakan pengusiran dilakukan oleh KD Mahawangsa yang sedang melaksanakan operasi Ops Benteng Laut dan Op Pejarak selepas menerima maklumat daripada Air Component Commander (ACC), Pesawat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada pukul 3 petang.

“KD Mahawangsa dimaklumkan terdapat dua bot nelayan asing sekitar 46 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak dan diarahkan menuju ke lokasi itu.

“Ketika menghampiri lokasi, KD Mahawangsa mendapati dua buah bot nelayan asing yang tidak memiliki nombor pendaftaran dan mengibarkan bendera Indonesia berada di posisi yang dikesan pada pukul 5.49 petang,” menurut TLDM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pengusiran dilakukan dengan mengiringi bot nelayan berkenaan sehingga keluar dari perairan negara pada pukul 6.45 petang.

TLDM turut memaklumkan akan sentiasa memperkasakan OP Benteng bersama pelbagai agensi maritim yang lain di bawah National Task Force (NTF) bagi memperkukuhkan sempadan perairan negara daripada dicerobohi pendatang tanpa izin.

— BERNAMA

Aziezzan