Siakap Keli

100,000 Ujian Saringan COVID-19 Ke Atas Pekerja Warga Asing Di Beberapa Negeri Akan Dibuat Bermula 1 Disember Ini – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 27 Nov – 100,000 saringan wajib COVID-19 akan dijalankan ke atas semua pekerja warga asing di beberapa negeri bermula 1 Dis ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dijalankan memandangkan peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan pekerja warga asing begitu tinggi.

“Ujian ini akan bermula 1 Disember ini di Selangor dan Negeri Sembilan, seterusnya diikuti oleh Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan WP Labuan.

”Difahamkan, untuk permulaan, akan dimulakan dengan 100,000 ujian kepada pekerja-pekerja warga asing ini.

“Bagi mengelakkan kesesakan berlaku, majikan perlu mengatur temujanji dengan fasiliti kesihatan swasta bagi ujian COVID-19 ini.

“Jadi mungkin dengan temujanji itu mungkin klinik kesihatan swasta boleh pergi ke industri, kilang-kilang atau tapak binaan terlibat (untuk menjalankan saringan),” katanya dalam sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Sehubungan itu, pelaksanaan ujian saringan besar-besaran tersebut akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu, kos perkhidmatan klinik atau hospital swasta tersebut perlu ditanggung oleh majikan, manakala kos bagi kit ujian bernilai RM60 pula akan ditanggung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk ujian pertama sahaja.

Dalam pada itu, pemeriksaan terhadap kilang-kilang oleh Kementerian Sumber Manusia mendapati ada majikan yang gagal untuk memberikan kemudahan perumahan yang baik dan selesa kepada pekerja-pekerja warga asing tersebut.

“Seperti yang kita tahu, akibat daripada kesesakan tempat tinggal mereka inilah salah satu punca yang menyebabkan cepatnya merebak kes-kes positif COVID-19 dalam kalangan pekerja-pekerja ini.

“Saya difahamkan, kementerian tersebut telah pun membuat pemeriksaan perumahan pekerja asing, didapati beberapa syarikat dikenal pasti (gagal) dan telah dikenakan tindakan,” tambahnya lagi.

Jelasnya, pemeriksaan akan tetap diteruskan dan pihak Kementerian Sumber Manusia akan mengumumkan secara terperinci mengenai isu tersebut dalam masa terdekat.

Kenyataan tersebut boleh dirujuk pada durasi ke 9:20.

Sumber: RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'