Siakap Keli
Gambar: Bernama

Barangan Keperluan Asas Di Perak Mencukupi

IPOH, 27 Nov — Bekalan barang kawalan dan keperluan asas di Perak dijamin mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan musim banjir kilat di beberapa daerah ketika ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata hasil pemantauan di pasaraya utama, peruncit dan pemborong mendapati semua barangan keperluan asas mudah diperolehi selain tidak berlaku sebarang kenaikan harga.

“Kami meminta rakyat untuk tidak panik dalam suasana tidak menentu ini terutama di musim banjir, PKPB dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikenakan di Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan ke atas pemborong dan peruncit di sekitar Jalan Bijih Timah di sini hari ini.

PKPD di Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C dilaksanakan selama 14 hari bermula 20 Nov lepas, manakala daerah dilanda banjir susulan hujan lebat yang kerap adalah Kerian, Manjung serta Hilir Perak.

Saifullizan memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan tidak munasabah, tidak mempamerkan harga dan menipu kerana tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati bersalah berbuat demikian.

Dalam pada itu, Saifullizan berkata pihaknya telah mengeluarkan 440 notis membabitkan kompaun berjumlah RM118,650 dalam pemeriksaan ke atas 49,363 premis perniagaan terbuka dan tetap sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas hingga semalam.

“Sepanjang tempoh itu, sebanyak 321 kes dikesan dengan yang paling banyak adalah berkaitan harga di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Mengenai pemeriksaan hari ini, Saifullizan berkata pihaknya mendapati semua barangan kawalan antaranya minyak masak, gula, tepung dan beras mencukupi selain tiada pemborong atau peruncit yang dikesan menjalankan aktiviti tidak beretika seperti menyembunyikan bekalan atau menaikkan harga secara melampau.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right