Siakap Keli
Kredit: Bernama

Penganggur Mengaku Tidak Salah Sebabkan Kemalangan Sehingga Cederakan Polis

IPOH, 27 Nov (Bernama) — Seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kemalangan jalan raya sehingga mencederakan seorang anggota polis yang sedang bertugas dalam kejadian di sini, Selasa lepas.

Tertuduh, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An Nur Umar.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menunggang motosikal di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine sehingga menyebabkan kemalangan dan mengakibatkan kecederaan parah terhadap Kpl Mohd Aizal Md Lazim yang ketika itu sedang bertugas di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Silibin di sini kira-kira 11.15 pagi, 24 Nov lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM50,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 sebelum tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan isterinya sedang mengandung dan mempunyai tanggungan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin manakala lesen memandunya digantung sehingga kes selesai dan menetapkan 14 Jan depan sebagai tarikh sebutan kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.