Siakap Keli
Gambar: Bernama

Air Naik Mendadak, Ibu Bersama Bayi Usia Tujuh Hari Berpantang Di PPS

KEMAMAN, 28 Nov (Bernama) — Seorang ibu yang baharu sahaja melahirkan anak tujuh hari lepas tidak menyangka akan merasai pengalaman berpantang di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak semalam, ekoran rumahnya di Kampung Air Putih di sini ditenggelami banjir.

Nor Atiqah Najwa Zaniza, 21, berkata kira-kira pukul 9.00 pagi Khamis lepas, beliau membawa bayinya Ahmad Faiq Arsyad Ahmad Fahmi yang lahir pada 22 Nov untuk menjalani pemeriksaan di Klinik Kesihatan Air Putih, dan tidak menyangka air naik dengan mendadak.

“Baru saja saya tiba di klinik tidak sampai lima minit, abang saya Muhammad Azwa Isham telefon dan beritahu rumah dinaiki air sehingga paras lutut dan dia meminta saya terus ke PPS Dewan Sivik Kampung Air Putih yang terletak bersebelahan klinik kesihatan tersebut selepas selesai urusan di klinik.

“Semasa keluar dari rumah sebelum itu memang tengah hujan sejak awal pagi, tetapi tidak ada sebarang tanda air akan naik secepat itu,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS Dewan Sivik Kampung Air Putih di sini hari ini.

Katanya beliau bernasib baik kerana Muhammad Azwa, 23, sempat membawa anak sulungnya Nur Afrina Safura, 3, keluar dari rumah dan ke PPS tersebut yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah dengan menaiki motosikal.

Ibu muda itu turut bersyukur kerana abangnya juga sempat menyelamatkan dokumen penting dan barangan kelengkapan bayi sebelum ditenggelami air, memandangkan ketika kejadian suaminya Ahmad Fahmi Ibrahim, 27, sedang bekerja di sebuah ladang kelapa sawit.

Ditanya pengalamannya berpantang di PPS, Nor Atiqah Najwa berkata kebajikannya di pusat tersebut dijaga dengan baik dan petugas kesihatan sentiasa memeriksa kesihatan beliau dan bayi dari semasa ke semasa.

“Kalau saya hendak mandi atau ke tandas pun ada pihak yang akan sukarela menjaga bayi dan anak sulung saya,” katanya.

Banjir di Terengganu hari ini menyaksikan Kemaman menjadi daerah yang paling terjejas dengan jumlah mangsa setakat ini seramai 1,310 orang.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.