Siakap Keli

Amaran Cuaca Waspada: Hujan Lebat Dijangka Berlaku Di Negeri Pantai Timur, Sabah Dan Sarawak Hingga 30 November

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi telah mengeluarkan amaran cuaca waspada di beberapa negeri di Malaysia yang dijangka akan berlaku sehingga 30 November 2020.

Amaran cuaca waspada yang dikeluarkan pada jam 1:00 petang itu melibatkan beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Sabah serta Sarawak.

Hujan lebat dijangka berlaku hingga 29 November 2020 melibatkan kawasan di negeri Terengganu (Kemaman), Pahang (Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin), Sarawak (Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Bintulu).

Bagi negeri Sabah, kawasan yang terlibat adalah Pedalaman, Pantai barat dan Kudat serta seluruh Labuan, hujan lebat dijangka berterusan sehingga 30 November 2020.

METMalaysia mengeluarkan amaran untuk Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh, dan Kuala Krai), dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu) di mana hujan lebat dijangka berlaku untuk kedua-dua hari berturut.

Sehubungan dengan itu, orang ramai yang hendak keluar dari rumah dinasihatkan supaya berhati-hati terutamanya kawasan-kawasan yang dijangka dibadai hujan lebat sehingga 30 November 2020 ini.

 

Sumber: MetMalaysia

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang