Siakap Keli

Lelaki Ditahan Pukul Pengawal Keselamatan

KUALA LUMPUR,  28 Nov- Seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki memukul seorang pengawal keselamatan di Seksyen 5, Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata suspek berusia 27 tahun itu ditahan di hadapan sebuah pos pengawal keselamatan sebuah pangsapuri di Jalan Sepah Puteri 5/1 jam 11.45 malam oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku telah memukul mangsa kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang menahan (berhentikan kenderaan) dan bertanya banyak soalan kepada rakannya dalam satu kejadian jam 12.03 tengah malam, semalam, di kawasan itu.

“Suspek bertindak memukul pengawal keselamatan itu dengan menggunakan sebatang besi kerana tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang menyoal rakan suspek berkenaan kad akses untuk keluar daripada kawasan berkenaan.

“Suspek direman selama tiga hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan manusia menggunakan senjata,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan kes lain, seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun ditahan selepas disyaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada penjawat awam di tempat letak kereta di Seksyen 8, Petaling Jaya, semalam.

Nik Ezanee berkata suspek yang juga seorang pemandu lori dipercayai berbuat demikian di Pos Kawalan Jalan SS 21/39, Uptown Kota Damansara, jam 2.30 petang,Khamis lepas apabila dia bersama seorang lagi lelaki menaiki sebuah lori dengan tujuan menurunkan beberapa unit tong gas di kawasan itu.

“Tindakan suspek yang melalui laluan yang ditutup bagi tujuan Perintah Kawalan Pergerakan  Bersyarat (PKPB) telah ditegur oleh anggota polis bantuan yang bertugas di kawasan tersebut namun suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan isyarat lucah kepada anggota terbabit.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek tidak mengaku terlibat dalam kes yang dilaporkan dan semakan rekod lampau pula mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya sambil menambah suspek direman selama tiga hari bermula hari ini dan disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan-perkataan kurang sopan serta Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan penjawat awam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata pihaknya menahan seorang lelaki tempatan selepas gagal meragut rantai leher seorang lelaki di Taman Sunway Batu Caves, di sini semalam.

Beliau berkata suspek berusia 27 tahun itu menunggang motosikal dan datang dari arah belakang mangsa yang sedang mengeluarkan anaknya dari dalam kereta ketika kejadian pukul 12.40 tengah hari itu.

“Dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di lokasi berkenaan, mangsa telah menyiku bahagian dada suspek menyebabkannya jatuh dan suspek ditahan dengan bantuan orang ramai.

“Pada kira-kira pukul 1.20 petang itu, sepasukan polis peronda dari Ibu Pejabat Polis Daerah  Gombak telah membuat tangkapan semula ke atas suspek,” katanya dalam kenyataan.

Arifai berkata kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak manakala suspek direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Khamis hadapan untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek baru dibebaskan dari perintah sekatan buang daerah (PCO) pada Isnin lepas dan dia mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah,” katanya sambil menambah polis tuurt merampas motosikal jenis Honda RS150 milik suspek.

Sumber- BERNAMA

Faiz Mustafa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.