Siakap Keli
lelaki maut dalam kereta
Gambar sekadar hiasan

Rempuh Treler: Pemandu Dan Kelindan Lori Maut

JOHOR BAHRU, 28 Nov (Bernama) — Seorang pemandu dan kelindan lori maut apabila lori tiga tan dinaiki bersama seorang lagi rakan sekerja terbabas dan merempuh sebuah treler di Kilometer 158.7 Lebuhraya Plus Arah Utara berdekatan Bukit Gambir, Tangkak dekat sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Gambir PPgB Nurashid Mamat berkata, pemandu lori berkenaan dikenali sebagai E. Gunaseelan, 31, manakala kelindannya masih belum diperoleh identiti.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan terkeluar daripada laluannya dan memasuki laluan kecemasan lalu merempuh belakang treler Scania yang berada di tepi lebuh raya.

Akibat rempuhan tersebut, kedua-dua mangsa mati di tempat kejadian akibat tersepit. Seorang lagi rakan sekerja mereka yang turut tersepit cedera parah dan kini telah dihantar ke Hospital Tangkak untuk mendapatkan rawatan.

”Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.10 pagi dan menghantar seramai 19 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dan BBP Tangkak ke tempat kejadian.

“Anggota menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kedua-dua mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara pemandu treler berkenaan yang berusia 35 tahun tidak mengalami kecederaan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.