Siakap Keli
Gambar: Bernama

Sarjan Norihan Terima Watikah Wira Negara Dari Yang Di-Pertuan Agong

GEORGE TOWN, 28 Nov (Bernama) — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Watikah Wira Negara dan surat penghargaan kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan a/l Tari, 39, atas sumbangannya mempertahankan benteng negara.

Penyerahan watikah dan surat itu dilakukan juruiring baginda, Datuk Yahaya Othman bersama Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan, ketika menziarahi anggota polis itu di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, tengah hari tadi.

Yahaya berkata beliau diarahkan oleh baginda untuk menziarahi Norihan yang cedera akibat ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand Selasa lepas, yang mengorbankan seorang anggota PGA rakan sepasukannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54.

Mengenang jasa dan pengorbanan mereka, Yang di-Pertuan Agong sebelum ini dilaporkan berkenan menganugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada mendiang Sarjan Baharuddin dan Sarjan Norihan, kedua-duanya Orang Asli dari suku kaum Semelai.

Sarjan Norihan Terim katanya kepada pemberita selepas menyampaikan watikah itu sambil ditemani isteri anggota PGA itu, Fardilla a/p Adam.

Yahaya berkata Norihan sangat teruja dan terharu sebaik menerima watikah serta surat penghargaan daripada Al-Sultan Abdullah dan mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan baginda.

”Reaksi daripada sarjan, saya nampak sangat teruja dan terharu, memang nampak pada riak muka Norihan…kebetulan beliau berasal dari Pahang dan nampak keprihatinan Tuanku (Yang di-Pertuan) Agong untuk memastikan rakyat negeri baginda dalam keadaan serta kesihatan yang baik,” katanya.

Katanya Al-Sultan Abdullah juga telah menitahkan kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk menziarahi keluarga Norizan dan beliau dimaklumkan mereka dalam keadaan baik.

“Apa yang saya dapat lihat, Norihan sangat kuat semangat dan dia mengingati semua perkara…dia turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) kerana mengambil berat mengenai dirinya,” katanya.

Norihan yang dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP pada Rabu lepas, selamat menjalani pembedahan membuang dua daripada tiga peluru dalam badannya akibat ditembak penyeludup semasa bertugas di Pos Sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.