Siakap Keli
Gambar rumah mangsa - BERNAMA

Penjenayah Tetak Pesara Dipercayai Guna Laluan Belakang – Saksi

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Perompak yang menetak mati pesara kerajaan dalam kejadian samun di Bukit Bandaraya, Bangsar, di sini awal pagi tadi dipercayai memasuki kawasan perumahan terbabit melalui laluan belakang bagi mengelak dikesan pengawal bertugas.

Wakil pengurusan syarikat pengawal keselamatan di kawasan perumahan itu Ranveer Singh, 32, berkata pengawal yang bertugas di kawasan perumahan di Jalan Mambu pada malam tadi tidak mengesan sebarang perkara mencurigakan.

“Pengawal keselamatan di sini bertugas 24 jam setiap hari dan pasti akan dapat mengesan penjenayah itu jika mereka (memasuki kawasan perumahan) menggunakan laluan biasa,” katanya kepada Bernama ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Beliau yang kesal dengan kejadian itu berkata penduduk di kawasan itu sudah mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan pengawal keselamatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata selepas kejadian, dua suspek kes berkenaan dipercayai melarikan diri ke arah sebuah parit besar di belakang rumah banglo dua tingkat itu.

Katanya anjing pengesan dapat menjejak suspek sehingga kira-kira 50 meter dari parit besar berkenaan sebelum bau mereka hilang di bahagian air parit itu dan di jalan besar berdekatan.

“Usaha memburu suspek dipergiatkan dan polis akan mengenal pasti lebih banyak maklumat seperti pakaian dan rupa mangsa untuk dihebahkan,” katanya.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi tadi, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang merupakan bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.