Peti sejuk merupakan salah satu peralatan yang penting di dapur bagi memastikan kualiti barang dapat tahan lama. Tahukah anda, peti sejuk perlu dibersihkan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan bagi mengelakkan sebarang kerosakan yang berlaku. Walaupun ruangan peti sejuk boleh menyimpan dengan banyak segala makanan dan minuman, kebersihan peti sejuk tidak boleh dipandang ringan kerana ia akan menggambarkan keadaan dapur anda sama ada bersih atau sebaliknya.
Bagi mereka yang duduk berkeluarga di rumah, tumpuan utama apabila pergi ke dapur adalah peti sejuk. Bayangkan jika sanak saudara, jiran tetangga kunjung ke rumah anda dan melihat keadaan dalam peti sejuk tidak dibersihkan dan boleh mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan. Pastu malu, bukan? Oleh itu, tips yang kami akan kongsikan ini membuatkan peti sejuk di rumah anda sentiasa kekal bersih dan selamat untuk kegunaan sepanjang hari.
(1) Keluarkan semua barang dalam peti sejuk
Sebelum anda membersihkan keseluruhan dalam peti, pastikan tiada sebarang makanan atau minuman. Pastikan juga setiap rak dan laci dalam peti dikeluarkan untuk dicuci dan di lap dengan pencuci dan air bersih.
Semasa anda sedang membersihkan, pastikan tidak mengambil masa begitu lama kerana bimbang makanan seperti sayur, buah akan kecut. Mungkin jika ada dikalangan anda mempunyai peti kedua, boleh masukkan barang-barang dalam peti kedua tersebut sementara menunggu anda membersihkan peti sejuk utama. Pastikan barang-barang yang diletakkan di luar tidak lebih dari sejam untuk mengelakkan sebarang kerosakan.
(2) Buang barang yang sudah lama, tamat tarikh luput, bau yang kurang menyenangkan sehingga tidak boleh dimakan
Anda yang gemar meletakkan barang yang banyak seperti makanan dan minuman dalam peti sejuk, kadang kala anda tidak mempunyai masa untuk lihat keadaan barang tersebut sama ada masih elok atau tidak. Oleh itu, ini lah masa anda untuk melihat tarikh luput, keadaan barang atau bau yang busuk untuk simpan atau buang. Anda tidak perlu menyesal dengan barang-barang yang dibuang, tetapi menyesal jika anda makan dan menyebabkan anda jatuh sakit.
Pastikan barang-barang yang dibuang ke dalam tong sampah tidak dibiarkan terlalu lama dalam rumah untuk mengelakkan bau dan ulat sampah yang mengotorkan keadaan dapur kita.
(3) Bersihkan semua barang yang dikeluarkan
Setelah anda keluarkan semua barang, lihat sekeliling bekas atau botol pada barang tersebut. Jika barang masih lagi elok digunakan, ambil kain dan basahkan dengan sedikit air, kemudian lap pada bekas atau botol supaya nampak bersih dan tidak mengotorkan peti sejuk apabila diletakkan semula.
Pastikan juga bekas yang diletakkan makanan tidak mempunyai sebarang kekotoran seperti tumpahan-tumpahan sos cili, kicap, mayonis dan sebagainya.

(4) Setiap rak dan laci peti sejuk perlu dibersihkan
Bahagian rak dan laci penting sebenarnya untuk dibersihkan. Hal ini kerana barang-barang yang diletakkan kadang kala tidak perasan mempunyai sedikit percikan air yang manis, atau sebarang tumpahan lebihan makanan. Untuk membersihkan bahagian rak dan laci cukup sekadar menggunakan sedikit sabun pencuci pinggan. Hanya perlukan sedikit sahaja kemudian lap sehingga hilang kekotoran.
Justeru, anda perlu memastikan semasa membersihkan rak kaca, tidak perlu membersihkan dengan air yang panas. Ini kerana perubahan cuaca yang agak berbeza membuatkan keretakan pada kaca tersebut. Oleh itu, bersihkan bahagian rak dan laci peti sejuk sekadar menggunakan air biasa sudah memadai.

(5) Hilangkan bau daripada makanan yang lama
Semasa anda membersihkan peti sejuk, anda pasti memeriksa barang-barang yang sudah tamat tarikh luput dan buang dengan serta merta. Sudah pasti ia akan meninggalkan bau yang kurang menyenangkan dan membuatkan anda tidak selesa. Masalah ini akan dapat diselesaikan dengan mudah iaitu dengan menggunakan sedikit cecair kimia yang mengandungi bahan pewangi.
Selain itu, untuk menyerap dan menghilangkan bau busuk yang agak lama, anda hanya memerlukan sedikit soda bikarbonat dan letakkan di bawah peti sejuk. Ia sangat membantu menyelesaikan masalah peti sejuk anda daripada berbau busuk.
(6) Pastikan gasket peti sejuk bersih
Perkara yang ramai terlepas pandang semasa membersihkan peti sejuk ialah pembersihan gasket atau bahagian getah peti sejuk. Terdapat sesetengah gasket tidak berfungsi dengan baik disebabkan tersumbat dengan air manis, atau serpihan makanan yang membuatkan peti sejuk anda tidak rapat.
Oleh itu, untuk memastikan gasket anda bersih, anda hanya memerlukan ½ cawan air dan ½ cuka. Bilas pada gasket peti sejuk tersebut kemudian lap dengan kain yang bersih. Anda juga boleh letakkan minyak lemon pada gasket bagi mengekalkan pintu peti sejuk sentiasa ketat dan kelihatan kemas

(7) Masukkan semula barang-barang yang dikeluarkan
Setelah kesemua barang anda bersihkan dan buang mana yang perlu, masukkan semula kesemua barang yang anda keluarkan. Pastikan kesemua barang dalam keadaan bersih dan tersusun supaya nampak kemas dipandang.

(8) Bersihkan bahagian luar peti sejuk
Anda perlu memastikan juga bahagian luar peti sejuk perlu dibersihkan dari sebarang kekotoran seperti debu atau habuk. Anda tidak memerlukan banyak alatan malah hanya perlu lapkan dengan kain yang disembur dengan cecair pencuci. Tidak dilupa juga bahagian atas peti sejuk perlu dilapkan supaya keseluruhan peti sejuk nampak bersih.
(9) Bersihkan gelung penyejuk dan kipas
Bahagian yang paling sukar kita lihat di peti sejuk adalah pada gelung penyejuk dan kipas. Bahagian tersebut perlu dititikberatkan juga kerana komponen tersebut yang menentukan peti sejuk anda kekal sejuk atau sebaliknya. Oleh itu, jika gelung penyejuk anda kurang sejuk, mungkin anda boleh cuba langkah ini.
(1) Pertama sekali, matikan suis elektrik peti sejuk.
(2) Selepas dimatikan, ambil berus gelung dan buang habuk daripada gelung penyejuk. Hati-hati ketika melakukannya. Anda boleh menggunakan penyambung vakum dengan fungsi berus untuk membersihkan lebihan debu di sekeliling gelung penyejuk.
(3) Kemudian, kita ke kipas kondenser. Gunakan berus gegelung untuk buang habuk sebelum menggunakan kain lembap untuk membersihkannya.
(4) Sapu atau vakum kawasan membersih sebelum anda meletakkan peti ais kembali ke tempat asal. Pasangkan suis semula.
Sumber : iproperty