Siakap Keli
Kredit: Bernama

Banjir Di Beberapa Negeri Semakin Pulih, Sungai Golok Masih Melepasi Paras Bahaya

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) — Situasi banjir di beberapa negeri seperti Terengganu, Kedah dan Melaka pada petang ini semakin pulih apabila mencatatkan pengurangan jumlah mangsa, bagaimanapun paras air Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan masih melepasi paras bahaya.

Di TERENGGANU, keadaan banjir hampir pulih sepenuhnya setakat pukul 4.00 petang ini, susulan penutupan sembilan pusat pemindahan sementara (PPS), menjadikan jumlah mangsa berkurangan kepada 13 orang sahaja berbanding 1,041 orang pada 8.00 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ketika ini hanya dua PPS beroperasi iaitu satu di Marang yang menempatkan lima mangsa (dua keluarga) dan satu lagi di Kemaman yang menempatkan lapan orang (tiga keluarga).

Banjir di KEDAH juga hampir pulih selepas lima daripada enam PPS yang dibuka di dua daerah iaitu di Kuala Muda dan Kulim sejak malam tadi, ditutup hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Muda Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata tiga PPS yang dibuka di daerah Kuala Muda bagi menempatkan 144 mangsa daripada 32 keluarga ditutup pada pukul 2.00 petang tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Sementara di Kulim, Pegawai APM Daerah Kulim Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata dua daripada tiga PPS iaitu Surau Taman Sang Kancil dan Sekolah Kebangsaan Sungai Limau yang menempatkan seramai 150 mangsa daripada 42 keluarga ditutup pada pukul 3.00 petang tadi.

Di MELAKA, mangsa banjir berkurangan kepada 17 orang membabitkan tiga keluarga pada pukul 4.00 petang ini berbanding 19 mangsa daripada empat keluarga pada pukul 8.00 pagi tadi, dengan cuaca dilaporkan cerah pada sebelah petang dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan.

Jurucakap APM Melaka berkata kesemua mangsa masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Gantong di Jasin.

Di PERAK, seramai 77 mangsa banjir daripada 24 keluarga di daerah Hilir Perak masih kekal ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan setakat pukul 4 petang ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata di daerah Kinta, mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Dewan Awam Hock Aun menurun daripada 27 mangsa kepada enam mangsa berikutan terdapat mangsa telah pulang ke rumah masing-masing selepas banjir surut.

“Mangsa banjir terlibat merupakan penduduk di kawasan Persiaran Hock Aun di Jalan Kuala Kangsar di sini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di PPS daerah Pasir Mas Di KELANTAN meningkat petang ini kepada 21 orang (empat keluarga) berbanding 10 orang (dua keluarga) pada pagi tadi.

Menurut InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua mangsa ditempatkan termasuk seorang bayi lelaki dan seorang bayi perempuan ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh, Pasir Mas.

Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat 5 petang ini, bacaan paras air Sungai Golok melepasi paras bahaya 9 meter, dengan bacaan 9.41 meter.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Mohd Roy Suhaimi Sarif ketika ditemui Bernama semasa meninjau di PPS di Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh berkata, beliau berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di pusat itu.

“Setakat ini kerjasama antara agensi amat baik dan polis sentiasa memantau keselamatan. Bagi mangsa banjir, jaga SOP yang ditetapkan dan tidak perlu risau dengan keselamatan mereka di luar kerana pihak polis sentiasa memantau kawasan rumah mangsa,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.