Siakap Keli
Gambar via Bernama

Penduduk Dakwa Rumah Retak Akibat Letupan Batu Bagi Kerja-Kerja Pembinaan

KUANTAN, 30 Nov  — Pemilik rumah di Taman Pelindung Jaya Utama di sini, mendakwa aktiviti letupan batu bagi kerja-kerja pembinaan kawasan perumahan baharu yang berhampiran sejak tahun lepas, menyebabkan beberapa struktur bangunan rumah mereka retak.

Pengerusi persatuan penduduk Mohamad Din, 50, berkata hampir 90 rumah di situ terkesan daripada aktiviti berkenaan, yang dapat dilihat pada bahagian luar dan dalam rumah.

“Kami terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk kerja baik pulih dan pernah sekali, saya terpaksa membayar sehingga ribuan ringgit untuk membaiki bahagian dapur kerana keretakan itu menyebabkan dinding bocor,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Norahayu Mat Jusoh, 48 pula mendakwa apabila hujan, air masuk ke dalam rumah menerusi rekahan pada bahagian bumbung, sekali gus memaksa mereka mengalihkan peralatan elektrik dalam rumah bagi mengelak kerosakan atau sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, pengarah syarikat Armani Idaman Sdn Bhd Datuk Tan Kee Tong semasa ditemui berkata pihaknya sedia membantu membaiki kerosakan akibat kerja-kerja letupan itu, namun penduduk perlu mengikut prosedur dengan mengemukakan aduan yang diikuti prosedur penilaian kerosakan.

“Proses baik pulih adalah secara berterusan dan memakan masa yang lama kerana kita perlu berjumpa dan berbincang dengan pemilik rumah terlebih dahulu. Ada pemilik yang tiada di rumah semasa kami hadir, menyebabkan berlaku kesulitan dalam isu ini,” katanya.

Tan berkata mereka juga memastikan proses meletupkan batu dilakukan dengan berhati-hati dan memuaskan hati masyarakat berhampiran, serta mendakwa pihaknya mula menggunakan bahan kimia yang selamat mulai Jun lepas bagi mengurangkan bunyi bising untuk kerja-kerja berkenaan, walaupun kosnya lebih mahal berbanding bahan letupan biasa.

— BERNAMA

Aziezzan