Siakap Keli
Kredit: Bernama

PKPB: Polis Keluarkan Sembilan Kompaun Kepada Pemilik Premis Emas, Pelanggan

KOTA BHARU, 29 Nov (Bernama) — Polis mengeluarkan sembilan kompaun terhadap pemilik kedai emas dan pelanggan mereka di sekitar Kota Bharu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam membendung penularan COVID-19.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata kompaun itu dikeluarkan semalam dan hari ini kepada pemilik kedai emas dan pelanggan mereka kerana kebanyakannya tidak mengamalkan penjarakan fizikal serta tidak memakai pelitup muka semasa berada di dalam premis.

“Pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan ke atas premis-premis niaga dan mengeluarkan saman serta kompaun ke atas mana-mana pihak yang dilihat tidak mengamalkan SOP yang ditetapkan. Langkah tegas ini adalah sebagai membendung penularan COVID-19 di dalam negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 20 Nov lepas Menteri kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri ismail Sabri mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kelantan sehingga 6 Dis depan selepas penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di beberapa daerah dan mukim di Kelantan.

Beberapa media hari ini melaporkan banyak kedai emas sekitar sini dikunjungi ramai susulan penurunan harga emas sejak minggu lepas, kebanyakannya tidak mematuhi SOP.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.