Baru-baru ini kita dikejutkan dengan tragedi pembunuhan melibatkan seorang pesara kerajaan dalam satu kejadian rompakan di kediamannya.
Kebiasaannya apabila berlaku kes sebegini, pasti ada segelintir yang mempersoalkan; sebagai mangsa, adakah kita boleh membunuh perompak tersebut ketika kejadian berlaku?
Boleh dikatakan ada sesetengahnya berpendapat bahawa kita boleh sahaja bertindak sedemikian atas tujuan melindungi diri.
Namun, sejauh manakah ketepatan hujah ini?
Sehubungan itu, peguam jenayah, Mufarwa Farid (gambar) baru-baru ini mengulas dan menjelaskan tentang langkah-langkah pertahanan diri yang betul daripada sudut perundangan.
Ikuti penjelasannya di bawah ini.
Semalam (kelmarin) ada seorang pesara kerajaan yang meninggal dunia dibunuh perompak. Perompak itu pecah masuk ke rumah Almarhum, mengambil barang berharga, lalu membunuh Almarhum serta cederakan isterinya.
Seperti biasa, ramai yang buat konklusi tidak tepat berkaitan pertahanan diri. Ada yang kata, kalaulah kerajaan benarkan tuan rumah bunuh penjenayah, mesti perkara ini tak berlaku.
1. Siapa kata kerajaan tak benarkan?
2. Orang yang pertahankan nyawa dan harta, kalau dia membunuh semata-mata nak pertahankan nyawa dan harta, akan terlepas daripada sebarang tuduhan.
3. Seksyen 99 hingga 106 Kanun Keseksaan dah peruntukkan benda ni sejelas-jelasnya.
4. Dalam Seksyen 99 dan 106 tu, terang jelas mengatakan orang yang membunuh sebab pertahankan diri TAKKAN dihukum.
5. Walau bagaimanapun, pembunuhan itu ada syaratnya.
6. Syaratnya, (i) pembunuhan itu diperlukan dan (ii) pembunuhan itu tak boleh berlebih-lebih.
7. Apa maksud pembunuhan itu diperlukan?
8. Maksudnya, kalau pencuri tu buat tindakan yang bakal membahayakan diri dan harta kita sekeluarga, kita rasa dah takda cara lain selain bunuh pencuri tu, maka kita boleh bunuh.
9. Contohnya, pencuri tu ugut guna pistol. Dia acukan pistol tu kat isteri kita. Dalam situasi ni, dah takda cara lain lagi nak berhentikan pencuri tu melainkan kita serang dia dan bunuh dia.
10. Contoh lain, pencuri tu tak habis-habis hayun parang sana sini dan kita takut sangat dia akan hayun parang tu kat kepala kita. Lepas tu kita campak benda keras kat kepala dia, lalu mati. Ni pun boleh.
11. Ini syarat pertama. Syarat kedua pula, pembunuhan tak boleh berlebih-lebih.
12. Apa pula maksud berlebih-lebih? Maksudnya, bila pencuri tu dah tak mengancam kita, tapi kita masih lagi nak bunuh.
13. Contohnya, pencuri tu dah lari. Kita tetap kejar dia sampai jauh daripada rumah, lepas tu kita bunuh dia. Ini tak dibenarkan.
14. Contoh lain, pencuri tu dah tak berdaya. Kita tikam kaki dia, tikam bahu dia, dia masih hidup, tapi dah tak berdaya lagi. Kemudian, kita kelar leher dia. Ini tak dibenarkan.
Sepatutnya, lepas pencuri tu tak berdaya, kita boleh ikat pencuri tu, kemudian hubungi polis.
Kalau tak mampu ikat, buatlah macam mana pun bagi pencuri tu tak lari. Tapi, tunggulah sampai polis sampai.
15. Membunuh pencuri adalah pilihan terakhir.
16. Selagi kita ada daya untok berhentikan pencuri itu daripada mencuri, selagi itulah kita jangan bunuh dulu.
17. Kalau dah tak berdaya dan pencuri tu makin galak, maka bunuhlah. Tepati 2 syarat yang disebutkan tadi.
18. Kita bunuh pencuri ini sebab kita nak pertahankan diri sahaja.
19. Kalau kita bunuh sebab marah atau dendam, ini tak boleh.
20. Macam mana polis nak beza pembunuhan dendam dengan pembunuhan pertahanan diri?
Antaranya, polis akan lihat kesan pembunuhan. Polis juga akan tengok bagaimana pembunuhan itu berlaku, sama ada sesuai atau tidak dengan pertahanan diri.
Part ni agak teknikal, dan ia bergantung kepada kes. Bergantung kepada bukti forensik dan dapatan detektif.
21. Hukum Jenayah Islam juga menetapkan syarat-syarat untok pertahankan diri ini haruslah diperlukan dan haruslah tidak berlebihan. Syarahan ini ditulis panjang lebar oleh Dr. Wahbah Al-Zuhaily.
22. Tidak ada isu kerajaan kena pinda atau ubah undang-undang.
23. Undang-undang dah cantik gariskan hak pertahankan diri bersyarat.
24. Kalau tak bersyarat, mudahlah lepas ni kita nak bunuh orang. Tak puas hati dengan pak imam kampung, suruh dia datang rumah kita, lepas tu kita tikam dia sampai mati. Polis datang, kita rileks je claim pak imam tu datang sebab nak mencuri, jadi kita bunuh dia.
25. Ada sebab kenapa undang-undang letakkan syarat macam ni. Tak nak ada pihak yang ambil kesempatan.
Kita nampak undang-undang tu ketat, sebenarnya nak halang daripada disalah guna.
26. Kesimpulannya, perompak masuk rumah, dia datangkan bahaya, kita dibenarkan bunuh dia asalkan tidak berlebihan.
Dan ingat, membunuh adalah jalan terakhir. Kalau mampu berhentikan, berhentikanlah tanpa membunuh.
Sama-sama kita doakan agar Almarhum Dr Wan Hassan agar ditempatkan di sebaik-baik tempat di sana.
Sumber: Mufarwa Farid