Siakap Keli
Gambar Hiasan Via The Jakarta Post

“Kalau Kes Dakwaan Rogol Berjaya Dibuktikan Suka Sama Suka, Jadi Tiada Dakwaan Rogol, Kan?”, Ini Jawapan Peguam

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa hampir setiap hari jenayah rogol dilaporkan berlaku.

Pun begitu, nampaknya masih ramai yang tidak memahami mengenai kesalahan rogol ini terutama apabila wujudnya elemen ‘suka sama suka’.

Untuk mendapat pencerahan mengenai perkara tersebut, ikuti perkongsian oleh peguam, Nor Zabetha di bawah ini.

Ada saya lihat beberapa soalan diruang komen, “Kalau kes dakwaan rogol dan berjaya dibuktikan suka sama suka. Jadi tiada dakwaan rogolkan?”

Benar. Rogol itu perlu ada elemen paksa dan tanpa kebenaran. Kalau ada kerelaan pun tetapi kerana takut diancam atau kekeliruan atau salah anggap, kekeliruan masih juga dianggap rogol.

Kalau ada kerelaan tetapi perempuan itu berusia bawah 16 tahun masih dikira rogol. Saya kongsi gambar Seksyen 375 Kanun Keseksaan untuk ada faham apa itu rogol.

Jadi kalau isu kekasih, mula-mula, sama-sama suka dengan perempuan dewasa (berusia di atas 16 tahun), bermakna kerelaan diberikan secara rela tetapi kemudian akibat bergaduh atau si lelaki hendak meninggalkannya, dituduhnya di rogol.

Kalau dengan kerelaan begini tanpa diugut atau diperdaya ianya bukan jenayah rogol.

Pun begitu, jika perempuan itu belum genap 16 tahun, ianya adalah jenayah rogol tanpa mengira suka atau tidak, rela atau tidak.

Hukuman rogol ini sangatlah beratnya, maksimum penjara 20 tahun dan rotan. Jadi bergantung juga kepada kes, berapa tahun hukumannya tetapi paling maksimum 20 tahun. Ada beberapa faktor yang membezakan tahun hukuman ini, misalnya betapa seriusnya perbuatan rogol (kes berbeza-beza), fakta kes dll.

Kalau kes rogol yang dihukum dibawah Seksyen 376 (2), lagilah dasyat hukumannya iaitu minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan rotan. 30 tahun!! Lama tu.

Belum apa-apa, paling minimum hukumannya 10 tahun. Boleh jadi 12 tahun, 13 tahun atau mungkin 20 tahun. Apa-apa pun paling maksimum 30 tahun.

Kalau umur 25 tahun kena penjara 15 tahun. Betapa ruginya kehidupan ini dihabiskan meringkuk dalam penjara hanya kerana tidak reti mengawal nafsu.

Kalau saya baca laporan kes rogol dalam jurnal undang-undang, bersifat jahat semuanya. Ada kes, mangsanya anak kawan baru 12 tahun. Bapa tiada dirumah, kawan ini bagi salam dan tahu hanya anak dirumah. Mula-mula dia minta masuk dan menunggu, kemudian dirogolnya si anak. Celaka betul!

Ada macam-macam lagilah. Ajak geng beramai-ramai. Kalau baca laporan memang kesian. Haih. Ada yang saya baca dalam kumpulan perogol itu, waktu mangsa telah lemah dirogol beramai-ramai, kata perogol yang pertama “Ingat aku yang pertama pecahkan dara kau!” Memang celaka!

Ini laporan di mahkamah jadi berdasarkan fakta yang benar sebab itu saya sentiasa rasa hendak memaki hamun sewaktu membaca terutama apabila membaca laporan, mangsa baru berusia yang masih kanak-kanak. Hish!

Hukuman rogol ini memang layaknya diberikan bertahun-tahun. Bukan kerana saya wanita saya setuju dengan hukuman begini tetapi kerana jenayah rogol itu kejam. Tanpa rela. Secara paksa. Merampas kehidupan manusia lain. Merampas kehidupan ibu bapa mangsa yang luluh hatinya apabila anak dirogol.

Kenapa Seksyen 376(2) itu lebih berat hukumannya sehingga 30 tahun kerana dinyatakan keadaan-keadaan seperti sekiranya wanita-wanita dirogol itu tanpa kebenaranya jika dia bawah 16 tahun atau dengan atau tanpa kebenarannya jika dia bawah 12 tahun atau jika mangsa adalah perempuan mengandung atau mangsa menjadi gila selepas dirogol.

Sambung lagi situasinya, bila perogol tahu dia mempunyai HIV atau sakit kelamin sehingga menyebabkan jangkitan kepada wanita atau mangsa bunuh diri selepas dirogol atau perogol tahu bahawa mangsa ini mempunyai masalah mental atau emosi tidak stabil atau kecacatan fizikal sewaktu kejadian.

Semua yang dinyatakan di atas ini, perogolnya bakal berdepan dengan minimum penjara 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan rotan.

Undang-undang juga sedia maklum bahawa ada mangsa rogol ini berkemungkinan akan jadi gila dan mungkin juga bunuh diri, sebab itu syarat-syarat ini dimasukkan dalam Seksyen 376(2). Jika mangsa jadi gila atau bunuh diri lagi berat hukumannya.

Jika mangsa itu jenis yang mengalami mental emosi seperti kemurungan atau yang jenis tidak berdaya juga, hukumannya juga boleh sehingga 30 tahun kerana maksimum kerana ini adalah jenayah yang serius.

Ada juga dalam Seksyen 376(4) ini, jika rogol atau cubaan merogol dan mangsa mati sewaktu kejadian, pesalah boleh dihukum mati atau penjara tidak kurang dari 15 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan tidak kurang dari 10 sebatan.

Zaman sekarang ini, masalah sosial kian menjadi-jadi, jenayah melibatkan kesalahan seksual juga kian meningkat.

Jadi pesan kepada anak-anak perempuan kita berhati-hati dan jaga batasan dalam pergaulan, pesan kepada anak-anak lelaki kita tentang batasan hubungan hubungan. Ingatkan mereka tentang larangan agama dan zina itu haram.

Saya pernah ke penjara Kajang bagi program dibawah Jabatan Guaman, saya menebual seorang remaja lelaki, saya tanyakan apakah punca ditahan di penjara.

Jawabnya kerana cinta. “Saya bercinta kak, lepas tu girlfriend saya selalu cabar untuk saya tidur dengan dia. Kalau dicabar benda-benda begini kak, selalunya mesti kalah. Sudahnya keluarga dia buat laporan. Ke dalam saya kak”.

Undang-undang mensyaratkan begitu, kalau perempuan 16 tahun tanpa rela atau dengan rela tetaplah kategori jenayah rogol. Jadi masih juga remaja ini menghadapi hukuman kerana kononnya cabaran cinta. Ini baru hukum dunia, belum lagi kita dengan Allah.

Sumber: Nor Zabetha

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.