Biografi dan latar belakang Imam al-Syafi’e
Imam al-Syafi’e atau nama penuhnya Muhammad bin Idris bin al-Abbas bin Uthman bin Syafie bin Ubaid bin Abdu Yazid bin Hasyim bin al-Muttalib bin Abdi Manaf lahir pada tahun 150H di sebuah tempat bernama Ghazzah di kota ‘Asqalan. Nasab beliau bertemu dengan nasab Rasulullah SAW pada moyang mereka berdua iaitu Abdu Manaf.
Ketika umurnya dua tahun, beliau dibawa oleh ibunya ke Hijaz dan apabila umurnya mencecah 10 tahun, ibunya membawanya ke Mekah kerana khuatir nasabnya yang mulia akan lenyap. (Rujuk Manaqib al-Syafi’e oleh Imam al-Baihaqi, 1/472 dan Tawali al-Ta’sis li Ma’ali Muhammad ibn Idris, hlm. 51)
Di Mekah, beliau menuntut ilmu dengan beberapa orang ulama terkenal, antaranya Imam Khalid bin Muslim al-Zanji iaitu mufti Mekah pada waktu itu, Fudhail bin ‘Iyadh dan Sufyan bin ‘Uyainah.
Kemudian beliau berpindah ke Madinah ketika berumur 12 tahun, dan telah menghafal kitab al-Muwatto hanya dalam masa 9 hari untuk membolehkan dirinya belajar dengan Imam Malik bin Anas. Beliau telah menjadi anak murid Imam Malik yang paling alim, selain turut belajar daripada ulama Madinah yang lain. Beliau telah diberikan kebenaran untuk berfatwa ketika umur beliau 15 tahun.
Kemudiannya, beliau berpindah ke Yaman dan menuntut ilmu daripada Mutorrif bin Mazin, Hisyam bin Yusuf, ‘Amru bin Abi Salamah dan Yahya bin Hassan, sebelum menetap di Iraq dan berguru dengan Waki’ bin Jarrah, Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, Hammad bin Usamah, Ayyub bin Suwaid al-Ramli dan Ismail bin ‘Ulayyah. Di Iraq, beliau telah mengarang kitab al-Hujjah yang menghimpunkan pandangan beliau yang lama (qaul qadim).
Kemudian, Imam al-Syafi’e berpindah ke Mesir, dan mengubah banyak fatwa-fatwa beliau yang lama dan mengasaskan mazhab yang baharu yang menghimpunkan qaul jadid, yang dimuatkan di dalam kitab al-Umm. Beliau turut mengarang kitab al-Risalah dalam ilmu Usul Fiqh, sekaligus menjadi pengasas bagi ilmu ini.
Beliau telah diiktiraf sebagai mujaddid (pembaharu) agama Islam bagi kurun yang kedua, antara lain kerana telah menghimpunkan antara dua manhaj, iaitu manhaj Ahlu Ra’yi yang diasaskan oleh Imam Abu Hanifah dan manhaj Ahlu al-Hadith yang dilazimi oleh Imam Malik bin Anas.Imam al-Syafi’e telah meninggal dunia pada tahun 204H di Kaherah, semoga Allah SWT merahmati roh beliau. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masa’il al-Mufidah hlm. 31-32)

Ketokohan Imam al-Syafi’e
Ketokohan dan keilmuan Imam al-Syafi’e merupakan satu hal yang tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapapun.
Kata Imam al-Karabisi: Kami tidak tidak mampu mengistinbatkan hukum daripada hadith-hadith, dan kami tidak mengetahui hakikat sebenar al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijma’ sehinggalah Imam al-Syafi’e mengajarkannya kepada kami.
Kata Imam Ahmad bin Hanbal: Syafi’e merupakan seorang ahli falsafah dalam empat bidang: bahasa Arab, perselisihan manusia, ilmu ma’ani dan fiqh. (Rujuk Tarikh Dimasyq 51/350)
Mengusai Bidang Ilmu
Imam Syafie sangat mahir dalam kesusteraan bahasa Arab dan setiap percakapannya menjadi hujah dalam sesebuah bahasa. Ibnu Hisyam berkata, “imam syafie adalah hujah dalam bahasa’’ manakala al-Jahiz pula mengatakan, “ aku banyak membaca penulisan-penulisan hebat dalam ilmu, tetapi tiada seorang pun yang lebih hebat penulisannya berbanding dengan Imam Syafie, perkataannya seperti permata-permata yang sudah diatur”.
Imam Syafie fasih mempelajari bahasa Arab dengan Huzail iaitu Kabilah Arab Badwi yang sangat fasih. Beliau mempelajari dan mendalami bahasa arab selama tujuh belas tahun.
Imam Syafie telah menghafal al-Quran ketika umurnya 7 tahun dan menghafal kitab Muwatta’ Imam Malik Ketika berumur 10 tahun. Boleh dikatakan setiap hari beliau mengkhatam al-Quran. Juga semasa beliau menunutut ilmu dari Makkkah ke Madinah, beliau sempat mengkhatam al-Quran sebanyak 16 kali.
Selain itu, beliau merupakan pengasas ilmu Fiqh. Kitabnya yang paling masyur al-Risalah dan al-Um. Imam Syafie mendalami bahasa Arab dan sejarah selama 20 tahun dan beliau berkata “Tidak ada tujuan lain bagiku daripada pelajaran tersebut melainkan untuk membantu kefahaman (ilmu fiqah)”.
Beliau juga mahir dalam membuat tafsiran. Yunus bin Abdul A’la berkata “Sesungguhnya apabila Imam Syafie menghuraikan tafsir, seolah-olah beliau berada ketika penurunan al-Quran”.
Imam Safie sangat menghormati dan menyanjungi ahli hadis. Beliau pernah berkata “ahli hadis adalah tetamu Allah, bila aku melihat seorang ahli hadis, maka seolah-olah aku melihat seorang sahabat nabi s.a.w”.
Selain itu, Imam Syafie banyak menerapkan fikrah Maqasid Syariah sewaktu membahaskan objektif pensyariatan ibadah serta objektif pengharaman suatu perkara, antaranya termasuklah tujuan solat, objektif berpuasa, kewajipan zakat dan pengharaman benda yang memabukkan.
Imam Syafie sering Diberi Pujian
Kehebatan Syafie dalam ilmu agama dan hadis membuatkan ramai ahli ulama memberi pujian kepadanya. Antaranya Al-Husain bin Muhammad Al-Karabisiy berkata “Aku tidak pernah lagi melihat satu majlis Ilmu yang lebih hebat daripada majlis Imam Syafie. Majlis ilmu agama beliau dihadiri oleh para muhaddisin, fuqaha dan juga penyair, kesemua daripada mereka mendapat ilmu yang banyak daripada Imam Syafie.
Al-Husain bin Muhammad Al-Karabisiy juga berkata, “aku tidak pernah berjumpa dengan orang yang setaraf dengan Imam Syafie dan beliau juga tidak Nampak orang yang setaraf dengannya.
Sa’lab juga berkata, Imam Syafie merupakan seorang imam dalam ilmu Bahasa”. Pujian yang lain juga diberi dari Abi AbdillahNuftuwaih pula, “Perumpaan Imam Syafie di kalangan para ulama adalah seperti bulan purnama di kalangan bintang-bintang di langit”.

Kematian Imam Syafie
Sifat Imam Syafie yang tidak pernah pernah kenal erti penat lelah dalam mencari ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu membuatkan beliau kekurangan waktu rehat sehingga membuatkan kesihatannya terganggu. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Hakam menceritakan keadaan Imam Syafie menderita disebabkan penyakit buasir yang sangat parah dan membimbangkan. Beliau menyedari sakitnya yang parah itu disebabkan kurang penjagaan dan tidak mempedulikan pantang larang.
Imam al-Muzani berkata, beliau masuk menemui Imam Syafie Rahimahullah ketika sakit yang membawa kematiannya dan bertanya: “Bagaimana keadaanmu tuan guru?”
Beliau menjawab “Keadaanku pada pagi ini dari dunia akan berkelana, dari sahabat-sahabat akan berpisah, kepada Allah aku akan menemui, segelas kematian akan kuhirup dan buruk amalanku akan ku tempuhi. Aku tidak tahu adakah diriku menuju ke syurga, maka aku ucapkan tahniahnya atau ke neraka maka aku ucapkan takziahnya”.
Maka, setelah beberapa hari Imam Syafie Rahimahullah meninggal dunia di Mesir pada hari Khamis, awal bulan Sya’ban tahun 204 Hijrah dalam usianya sekitar 54 tahun. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir di sisi muridnya iaitu Imam al-Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi Rahimahullah. Imam Syafie telah meninggal dunia di kediaman Abdullah bin Abdul Hakam dan meninggalkan wasiat terakhir kepada Abdullah bin Abdul Hakam.
Jenazah Imam Syafie dikebumikan pada hari jumaat selepas Asar dan dikebumikan oleh anak-anak Abdul Hakam di sebelah Barat al-Khandak.

Pesanan Imam Syafie
Bagi sesiapa yang mempunyai rasa putus asa dalam mencari ilmu, ingat kata-kata dari Imam Syafie, “Jika kamu tidak sanggup menahan lelahnya belajar, maka kamu harus sanggup menahan peritnya kebodohan”.
Beliau juga mengatakan betapa pentingnya kita sebagai manusia untuk mendalami ilmu. Bagi mereka yang nak berjaya di dunia perlu mencari ilmu, nak berjaya di akhirat perlu mencari ilmu dan jika ingin berjaya kedua-duanya perlu mencari ilmu.
Oleh itu, jangan pernah mengeluh dan mengalah dalam menuntut ilmu kerana ilmu akan memberi manfaat dan kebaikan dalam diri kita dan mungkin juga akan memberi sinar kepada kita di akhirat kelak.
Rujukan
(1) Luqman Tarmizi (2020) Irsyad Usul Fiqh Siri Ke-49: Maqasid Syariah Disisi Imam Syafi’e. Sumber dipetik daripada https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-usul-fiqh/4303-irsyad-usul-fiqh-siri-ke-48-maqasid-syariah-disisi-imam-syafi-e?fbclid=IwAR3LTFMOYqhG0_nn9tZT3OYB68drgsV-JO9RcevBOA_kPN97jo-rYmKiJ50
(2) Admin PMWP (2018) Al-Kafi #952: Saat Kematian Imam Al-Syafi’e. Sumber dipetik daripada https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2864-al-kafi-952-saat-kematian-imam-al-syafi-e