Kalau anda seorang yang ‘kaki travel’, pasti kawasan bukit batuan Cappadocia yang terkenal di Turki ada dalam senarai ‘waiting list’ kan?
Selain itu, Grand Canyon yang terletak berdekatan dengan Sungai Colorado, Arizona, Amerika Syarikat juga mungkin menjadi pilihan.
Keunikan yang ada pada kedua-dua tempat ini adalah ciri-ciri strukturnya yang berbongkah mengikut ‘corak’ tertentu disebabkan impak geografi semulajadi.
Namun tahukah anda, rupa-rupaya di negara kita pun wujud juga tempat bukit batuan unik yang seakan-akan hampir menyamai Grand Canyon dan Cappadocia.

Grand Canyon versi Malaysia
Baru-baru ini tular beberapa keping foto di media sosial yang memaparkan beberapa individu bergambar di satu lokasi berlatarbelakangkan bukit unik.
Dikatakan seolah-olah wujud ‘Grand Canyon versi Malaysia’ di negara ini.

Menurut individu yang pernah ‘berpeluang’ ke sana, Aedy, beliau menjelaskan ‘Grand Canyon Malaysia’ ini terletak di sebuah kawasan tertutup di sekitar Batu 20, Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor.
Aedy yang juga merupakan anak jati kelahiran Ulu Tiram ini mendakwa, dia sendiri tertarik ke sana disebabkan lokasi itu tular sebelum ini kerana dikatakan cantik untuk bergambar.
Jika diperhatikan, bergambar berlatarbelakangkan tebing bukit yang unik ini seolah-olah membuatkan pengunjung di situ berada di Arizona yang sebenarnya.


Cantik, tapi…
Meskipun cantik untuk dijadikan lokasi bergambar, lebih-lebih lagi bagi golongan ‘Instagramable’, namun sebenarnya ada satu ‘masalah’ di sebaliknya.
Menurut Aedy, Grand Canyon Malaysia ini telah pun ditutup pada Selasa kelmarin atas faktor-faktor keselamatan.
Difahamkan, lokasi menarik ini sebenarnya agak berhampiran dengan kawasan tapak pelupusan bahan kimia, ini dijelaskan dalam satu laporan berita oleh akhbar tempatan berbahasa Mandarin baru-baru ini.
“Pergi Isnin hari itu. Pengawal keselamatan cakap, esoknya tutup. Tak bagi orang masuk.
“Pengawal keselamatan cakap pengurus (manager) tidak bagi masuk..atas arahan pemilik tempat tersebut,” katanya ketika dihubungi Siakap Keli hari ini.

Selain itu, faktor struktur tebing bukit itu sendiri yang dipercayai menjadi faktor kawasan tersebut ditutup.
“Bahaya tanah runtuh pun ya juga. Tanah tu tidaklah keras mana..jadi boleh runtuh bila-bila masa,” dakwanya lagi.
Difahamkan, Grand Canyon Malaysia ini menjadi tumpuan ramai hingga dikatakan terdapat hampir 200 orang yang mahu masuk ke sana pada Ahad lalu.
Sehubungan itu, bagi anda yang rasa-rasa tertarik untuk berkunjung ke sini, mungkin boleh batalkan hasrat itu.
Bukan apa, ia ditutup pun sebab berdekatan dengan kawasan pelupusan bahan kimia. Agak berisiko sebenarnya jika terdedah dengan orang awam, lebih-lebih lagi ketika musim COVID-19 ini.
Jadi sebaiknya, pilihlah lokasi lain yang lebih selamat, selesa dan bermanfaat. Pasti ada.
Sumber: Aedy