Siakap Keli
Gambar: thx.rk

(Video) Seram, Pemuda Dakwa Tak Sedar ‘Terakam’ Bunyi Gamelan Sayup Di Puncak Gunung

Setelah bersusah payah mendaki gunung, pastinya kita ingin menikmati keindahan pemandangan di puncak, bukan? Ada antara pendaki yang gemar merakam keindahan alam sekitar dari puncak gunung untuk dijadikan kenangan.

Namun bagi seorang pemuda di Indonesia, video kenangannya mungkin mempunyai sedikit unsur misteri apabila ia didakwa mengandungi bunyi seakan muzik gamelan yang sayup ketika sedang merakamkan pemandangan di atas gunung.

Menurut Tribun News, pemuda bernama Raka itu mengaku tidak memasukkan sebarang muzik dalam video tersebut, sebaliknya hanya merakam pemandangan di puncak gunung itu.

“Saya di puncak Gunung Mananggel dan sekarang hampir masuk Maghrib,” tulis pemuda berasal dari Jakarta itu.

“Saya buat video kerana teruja dengan pemandangan matahari terbenamnya,” katanya. Pemuda itu juga mendakwa dia dan rakannya yang lain tidak mendengar bunyi gamelan tersebut ketika berada di puncak gunung itu.

Mereka dikatakan hanya sedar kewujudan bunyi itu setelah memuatnaik video berkenaan ke media sosial.

“Bila muatnaik di Instagram dan group WhatsApp pendaki, mereka yang sedar ada bunyi gamelan,” ujarnya seperti dilapor Tribun News.

@thx.rk

Ada yang tau suara apa?

♬ Oh No – Kreepa

 

Walau bagaimanapun, seorang warganet menyatakan bahawa kedengaran bunyi muzik dipercayai daripada telefon bimbit terlebih dahulu sebelum bunyi gamelan itu didengari.

Kesahihan rakaman tersebut tidak dapat dipastikan, namun rakaman tersebut telah menjadi tular dengan meraih 358 ribu tontonan dan menimbulkan rasa seram dalam diri warganet.

Sumber: Tribun News

Amira

Love yourself.