Boleh dikatakan hampir setiap hari kita mesti akan makan makanan berasaskan telur ayam, sama ada dibuat lauk, digoreng, direbus dan sebagainya.
Tapi pernahkah kita terfikir, bagaimana pula dengan telur ayam belanda? Adakah ia boleh dimakan? Adakah rasanya sama seperti telur ayam biasa? Adakah ia banyak dijual di pasaran?
Untuk pengetahuan anda, jualan telur ayam belanda dalam industri sebagai sumber makanan tidak begitu rancak sebagaimana ayam daging, ayam kampung dan lain-lain.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi isu ini, antaranya:-
1. Produktiviti telur yang memakan masa
Jika spesis burung lain – ayam contohnya, ayam mampu mengeluarkan telur secara purata sebanyak sebutir sehari untuk satu-satu tempoh. Namun berbeza dengan ayam belanda, spesis ini hanya akan bertelur dua biji telur sahaja untuk tempoh seminggu.
Jadi lebih baik sekiranya telur ini dieramkan untuk mendapatkan lebih banyak ayam belanda. Lagi satu, jika dijual, harganya agak mahal. Menurut Modern Farmer, harganya sekitar USD 3 atau kira-kira RM 12.10 sebiji.
2. Kitaran tempoh bertelur yang lambat
Usia matang ayam belanda untuk mula bertelur begitu lambat. Penternak perlu menunggu masa kira-kira tujuh bulan untuk memastikan ayam belanda ini mula bertelur.
Ini sangat berbeza dengan ayam biasa yang hanya memakan masa lima bulan sahaja.

3. Tahap penjagaan yang ‘complicated’
Tidak seperti ayam biasa yang boleh saja hidup di dalam sangkar biasa, ayam belanda ini memerlukan keadaan sekeliling yang sesuai. Dengan memiliki saiz yang lebih besar berbanding ayam biasa, penternak perlu menyediakan sangkar atau kurungan bersaiz besar yang sesuai dengannya.
Selain itu, pemakanan ayam belanda juga berbeza di mana ia dikatakan mempunyai tabiat pemakanan yang lebih kerap. Sumber makanannya pula adalah daripada dedak, bijirin dan makanan semulajadi seperti tumbuhan hijau. Semua ini sudah tentu memerlukan penternak untuk mengeluarkan kos yang tinggi.
Selain itu, ayam belanda juga perlu ‘diuruskan’ dengan kaedah yang berbeza mengikut peringkat umurnya.
Bagi anak ayam belanda berumur kurang dua minggu, ia akan dijaga di dalam satu ruang kotak khusus yang dilengkapi alat pemanas bagi memastikan keadannya selamat pada setiap masa, selain dapat mengawal suhu mengikut waktu semasa.
Manakala bagi ayam belanda berumur dua ke empat minggu, ia akan dipindahkan ke sangkar. Pemakanannya ketika ini adalah bersumberkan dedak dan jagung halus. Kemudian setelah mencapai usia matang, barulah ayam belanda akan dipindahkan ke tanah.

Difahamkan, tempoh pertukaran habitat ini perlu dilakukan beransur-ansur supaya ayam belanda tidak mengalami ‘kejutan’. Ketika usia ini, ayam belanda akan diberi makanan daripada sumber semulajadi seperti tumbuhan hijau, rumput dan sebagainya.
Demikian itu faktor-faktor mengapa jarang sekali telur ayam belanda dikomersialkan di pasaran. Namun begitu, permintaan terhadap sumber daging ayam belanda adakalanya meningkat.
Tidak hairanlah, impak daripada proses penjagaan, kitaran tempoh bertelur, cabaran, kos yang tinggi dan sebagainya tadi membuatkan harga jualan bagi telur dan daging ayam belanda lebih mahal berbanding ayam biasa.
Sumber: Modern Farmer, University of British Columbia, Myagri