Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

(Video) Dakwa Ibu Lebihkan Adik-adik, Remaja 17 Tahun Dilapor Tikam Adik Sendiri Hingga Mati Dipercayai Kerana ‘Dendam’

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun nekad menikam dua adik perempuannya sehingga mati bagi membalas dendam terhadap ibunya kerana lebih menunjukkan kasih sayang kepada mereka, menurut pihak berkuasa Mexico, lapor Daily Mail.

Menurut portal itu, remaja lelaki itu telah berjaya ditahan pada Rabu selepas melakukan pembunuhan kejam terhadap adiknya yang berusia 7 dan 12 tahun di Tecámac, Mexico.

Suspek yang tinggal bersama ayahnya itu telah mengunjungi rumah ibunya untuk menjaga gadis-gadis tersebut ketika ibunya itu keluar bekerja pada Ahad.

Namun apabila sekembalinya ke rumah, ibu kepada mangsa tersebut telah mendapati bahawa anak-anak perempuannya itu sudah tidak sedarkan diri di atas lantai.

Dia bersemuka dengan anaknya itu yang disyaki menikam dan memukul kepala mangsa menggunakan pistol.

Suspek terus melarikan diri dari tempat kejadian dan ditemui pada petang Rabu sedang bersembunyi di rumah rakannya di bandar Ciudad Nicolás Romero.

Remaja tersebut telah berjaya ditahan tanpa sebarang kekecohan.

Polis menyatakan bahawa remaja itu memaklumkan kepada penyiasat bahawa dia telah melakukan pembunuhan itu kerana ibunya selalu memberikan layanan yang berbeza berbanding dengan adik-adik perempuannya, menurut akhbar Mexico La Prensa.

Dia turut menambah bahawa dia benci dengan adik perempuannya kerana ibu mereka memberikan kasih sayang yang lebih kepada mereka.

“Saya sangat benci ibu saya, sebab itulah saya bunuh adik perempuan saya, untuk membalas dendam terhadapnya,” ujarnya.

Pejabat pendakwa negara Mexico mengesahkan bahawa remaja itu telah ditahan dan diletakkan di pusat tahanan remaja di Zinacantepec.

Suspek yang akan genap berusia 18 tahun tidak lama lagi dijadualkan untuk tampil menghadap hakim mahkamah pada hari Khamis dan boleh diadili sebagai orang dewasa.

Sumber: Daily Mail

"