Kereta merupakan kenderaan utama yang penting bagi membolehkan seseorang itu bergerak. Tak dinafikan ada juga yang menyimpan barang-barang peribadi seperti kasut, buku, botol air dan banyak lagi. Pun begitu, ada sesetengah yang tidak perasan barang-barang yang diletakkan mempunyai kandungan yang bahaya jika ditinggalkan terlalu lama dalam kereta. Anda perlu tahu, tidak semua barang peribadi akan selamat jika disimpan di dalam kereta, lebih-lebih lagi jika kereta anda di bawah cuaca terik yang begitu panas.
Barang yang ditinggalkan di dalam kereta juga boleh mengancam nyawa sendiri dan juga nyawa penumpang. Hal ini kerana barang yang mengandungi kandungan racun atau bahan kimia boleh meletus secara tiba-tiba dan menyebabkan anda kehilangan nyawa tersayang bahkan kehilangan kereta sendiri.
Barang apa yang mengundang bahaya jika ditinggalkan di dalam kereta? Jom semak.

(1) Makanan dan Minuman
Sesetangah bekas makanan dan minuman tidak direka untuk tahan panas dan matahari. Suhu kereta yang diletakkan di kawasan panas boleh mencecah 70°C. Makanan atau minuman yang terkandung di dalam bekas plastik tersebut boleh tercemar.
Perpindahan bahan kimia daripada plastik kepada makanan atau minuman yang dibungkus boleh berlaku sekiranya penggunaan bahan plastik tersebut disalah guna. Pendedahan suhu yang tinggi terhadap plastik boleh menyebabkan bahan kimia diserap ke bekas makanan atau minuman. Oleh itu, jika anda terus makan atau minum di dalam bekas plastik yang disimpan di dalam kereta boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti kanser. Elakkan terus makan atau minum makanan yang dibungkus dalam plastik walaupun ia belum dibuka.

(2) Ubat-ubatan
Kebanyakan ubat-ubatan yang didapati di klinik atau hospital perlu disimpan pada 24°C atau lebih rendah. Ada juga ubat yang perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk bagi mengekalkan kandungan yang lebih baik. Selain itu, ubat-ubatan juga dapat tahan lama jika disimpan ke tempat yang lebih gelap berbanding disimpan ke tempat yang panas. Jadi kepada mereka yang gemar menyimpan sebarang jenis ubat ke dalam dashboard kereta, hentikan tabiat ini. Perhatikan arahan pada ubat tersebut “Sila simpan ubat ini mengikut suhu yang ditetapkan atau pada suhu bilik.” Arahan tersebut jelas menunjukkan ubat yang disimpan di dalam kereta setelah terkena cuaca panas akan memudaratkan kesihatan kita.
(3) Tin aerosol
Sebarang tin pewangi, tin serangga atau tin yang mengandungi bahan kimia yang tinggi sangat berbahaya jika ditinggalkan di dalam kereta lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang panas. Tin-tin tersebut mengandungi udara yang dimampatkan dan mempunyai tekanan yang tinggi. Apabila tin-tin tersebut ditinggalkan dalam keadaan cuaca panas, molekul udara dalam tin akan mengembang dan akan meningkatkan tekanan di dalamnya. Ini akan menyebabkan tin tersebut meletup. Oleh itu, jangan simpan terlalu lama sebarang tin aerosol di dalam kereta.
(4) Ubat gegat / racun
Sebarang bahan beracun atau ubat gegat sangat dilarang disimpan di dalam kereta. Mungkin ada sesetengah mereka menyimpan barang tersebut untuk menghalau seranggga seperti lipas atau semut. Tetapi anda perlu tahu, semakin lama anda simpan bahan beracun atau ubat gegat di dalam kereta, kereta akan mudah meruap. Lebih-lebih lagi keadaan kereta yang panas, lagi cepat ia meruap. Bayangkan anda terus masuk ke dalam kereta dan menghidu udara yang dicemari racun yang meruap tadi, pasti anda berasa sesak nafas dan menyebabkan kesihatan anda terjejas.

(5) Pemetik api
Kepada perokok-perokok di luar sana, anda mungkin mempunyai pemetik api lebih dari satu dan disimpan di dalam kereta supaya mudah untuk digunakan. Tahukan anda, pemetik api mudah meletup dan terbakar jika dibiarkan di dalam kereta dalam keadaan yang panas. Mungkin saiz dan bentuknya yang kecil membuatkan anda terfikir ianya tidak berbahaya. Oleh itu, elakkan menyimpan sebarang pemetik api di dalam kereta untuk mengelakkan letupan atau kebakaran.

(6) Kaca mata
Barang yang paling disukai ramai adalah menyimpan cermin mata di dalam kereta. Pernah tak anda perasan kaca mata yang ditinggalkan di dalam kereta dalam keadaan cuaca yang panas, bingkai dan pelipis (temple) kaca mata anda akan mengalami perubahan bentuk selepas beberapa penggunaan. Hal ini kerana suhu yang begitu panas akan melembutkan bingkai kaca mata yang diperbuat sama ada daripada plastik, nelon ataupun asetat. Kesannya nanti kaca mata anda akan longgar apabila dipakai.

(7) Alat elektronik / powerbank
Mereka yang sibuk dengan urusan kerja kadangkala tertinggal alat elektronik atau powerbank di dalam kereta. Walaupun alat tersebut nampak seperti tidak memberi kesan apa-apa, namun jika dibiarkan lama di dalam kereta akan menyebakan kerosakan. Misalnya telefon bimbit yang diletakkan di dalam keadaan cuaca yang panas akan merosakkan fungsi dalaman alat tersebut lebih-lebih lagi pada bateri. Begitu juga dengan powerbank, ia tidak boleh diletakkan di kawasan yang bersuhu tinggi seperti di dalam kereta kerana ia berisiko tinggi untuk power bank boleh meletup.
Sumber: NewRoadsAutomativeGroup