Siakap Keli

Pasangan Suami Isteri Diperintah Bela Diri Tuduhan Bunuh Anak Lelaki 8 Tahun

SHAH ALAM, 8 Dis – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan sepasang suami isteri membela diri atas pertuduhan membunuh anak lelaki mereka berusia lapan tahun di premis pusat urut tempat mereka bekerja, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Aaron Teoh Eng Wan, 36, dan isterinya, En Sit Mooi, 39.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan suami isteri itu membela diri terhadap satu lagi pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

“Saya menilai dan menilai semula semua keterangan, mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie ke atas kedua-dua pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh. Kedua-dua tertuduh dengan ini diperintahkan untuk membela diri,” kata Noorin.

Pendakwaan mengemukakan 28 saksi sepanjang perbicaraan yang bermula pada Julai 2019.

Hakim kemudiannya menetapkan 18 dan 19 Jan tahun depan untuk kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Tan Teck Yew dan Tina Ong membela diri.

Ong memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan akan mengemukakan dua saksi iaitu pasangan suami isteri itu sendiri yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Semasa pembukaan perbicaraan sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya memberitahu mahkamah bahawa sebelum meninggal dunia, mangsa telah dipukul oleh ibu bapanya menggunakan rotan dan kayu.

Keterangan pakar patologi menunjukkan punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat pendarahan di bawah kulit dan otot yang meluas serta teruk akibat daripada hentakan tumpul berganda.

Keterangan saksi pendakwaan lain seperti ahli kimia juga mengesahkan bahawa terdapat asid deoksiribonukleik (DNA) milik Aaron serta mangsa pada rotan yang ditemui di tempat kejadian dan berdasarkan video rakaman litar tertutup (CCTV) di premis tersebut, En dilihat beberapa kali mengheret mangsa yang dalam keadaan sangat lemah serta tidak bermaya.

Pasangan itu dibicarakan atas pertuduhan membunuh anak sulung daripada dua beradik itu di sebuah premis di Regalia Business Centre, Subang Jaya antara 2 petang hingga 3.30 petang pada 26 Mei 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Aaron dan En juga dibicarakan atas pertuduhan melakukan penganiayaan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 31 (5) akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama.

Pasangan suami isteri itu pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 5 Jun 2017.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang