Musim pandemik COVID-19 ini boleh dikatakan terlalu ramai yang hilang punca pendapatan, semuanya disebabkan situasi ekonomi yang jatuh merudum.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim, hampir 99,696 individu di Malaysia dipercayai telah hilang kerja sejak awal Januari tahun ini sehingga penghujung bulan lepas, semuanya terkesan akibat COVID-19.
Namun kekangan ekonomi yang menekan tidak membuatkan individu ini jatuh lemah, malah sebaliknya dengan segala kekuatan yang ada, dia ‘paksa’ untuk bangkit teruskan kehidupan.
Percaya atau tidak, dahulu individu ini pernah berpengalaman dalam bidang IT selama 20 tahun. Namun, kini segalanya sudah berubah. Daripada sibuk ‘bermain’ dengan teknologi dan komputer, kini kariernya sudah beralih ke atas jalan raya sebagai penghantar barang (delivery rider).
Mari ikuti perkongsian hidup yang menginspirasikan serta tips-tips untuk orang yang hilang kerja oleh Yukhairi Yahaya di bawah ini.

Malu apa bosskuu. Anda boleh bayangkan seorang lelaki yang sudah berpengalaman 20 tahun dalam bidang IT buat kerja e-hailing.
Disember ini genap setahun dah saya hilang kerja. Tiada pendapatan tetap, tiada EPF, akaun bank saya makin berkurang bukan bertambah. Haha.
Tapi Alhamdulillah, saya masih lagi dalam mod ‘survival’. Jan hingga Mei lalu, saya buat kerja e-hailing sepenuh masa guna motosikal. Manakala Jun hingga Disember ni sekadar sambilan je sebab fokus pada kerja freelance IT.
Hidup ni memang susah tapi tak terlalu susah kalau anda percayakan diri anda.
Kalau anda hilang kerja, jangan tunggu lama-lama, jangan lepak lama sangat, anda kena cari kerja lain, sesuatu yang boleh bawakan makanan atas meja anda, kerja yang pendapatannya tunai segera, contohnya e-hailing.
Saya seorang penunggang perkhidmatan Dego, Grab, GoGetter dan BungkusIt, ia bukanlah sejenis kerja impian, atau bukan kerja yang boleh dibanggakan.

Tapi dengan kerja inilah boleh dapat duit cepat, minimum anda boleh dapat RM100 sehari dan lebih kalau anda kerja keras (dan) bergantung pada strategi.
Jadi rider ni bukan semudah yang anda sangka. Anak perempuan saya tanya, “Papa kerja apa?”, lepas tu saya jawab “Kerja naik motor,”.
Kemudian dia tanya lagi, “Banyak ka gaji papa, ribu-ribu ka?”, lepas tu saya cakap, “Cukup laaa buat kita, kerja apa pun gaji banyak jugak, paling penting halal,”
Keluar pukul 8 pagi, balik pukul 10 malam. Wow buat OT (overtime) ka? Haha. 14 jam atas motor atas jalan raya. Gila beb.
Antara tips lain, kalau anda hilang kerja jangan sesekali pinjam duit, jangan guna kad kredit.
Ada sesetengah orang dapatkan duit dengan cara senang. Dia hilang kerja, dia ‘refinance’ rumah atau guna wang tunai kad kreditnya kemudian ke AKPK dan isytihar tiada pendapatan.
Memang benda ni tak salah di sisi undang-undang tapi ia bukanlah sesuatu yang bagus. Bagi saya, ianya tak beretika, kecualilah kalau anda betul-betul terpaksa nak bayar duit syarikat pinjaman wang ke. Haha.

Tolong potong semua kad kredit dan cuba minimumkan perbelanjaan.
Ianya memang susah tapi inilah hakikat sebenar musim COVID-19 ni. Bila anda hilang kerja, inilah waktu paling tepat untuk anda tahu siapa kawan sebenar anda. Alhamdulillah kawan-kawan saya semuanya banyak membantu.
Mereka tak pinjamkan saya duit (saya tak minta tapi ada yang bagi sebagai hadiah/sedekah), tapi mereka bantu saya dengan cara bagi ‘job’ penghantaran, bagi nasihat pada saya untuk cipta peluang pekerjaan laiin dan paling penting, mereka beri pada saya sokongan moral untuk ‘survive’.
Yang paling terbaik ada yang asyik ‘call’ nak belanja makan (dulu saya yang selalu belanja depa haha).
Jadi, pendek kata bila anda hilang kerja:
- Rancang perbelanjaan, potong dan keluarkan perkara yang tidak penting macam beli kereta baru, basikal baru dan lain-lain.
- Rancang apa yang anda nak buat? Gunakan apa yang anda ada atau apa yang anda boleh buat? Contohnya mahir memasak, jadi masak dan juallah. Mahir memancing jadi pergilah memancing kemudian makan ikan hari-harilah. Atau gunakan apa yang anda memang dah ada? Contohnya saya ada motosikal jadi saya jadi rider lah.
- Jangan guna kad kredit atau buat pinjaman (loan) untuk ‘survive’. Bukan satu tindakan yang sesuai (buat masa ini).
- Gunakan duit simpanan, jika tiada simpanan, jual saham ke? Jual emas ke atau juallah apa yang anda ada. Jual telefon termahal anda ke (lepas tu belilah yang murah sikit ke), ‘downgrade’ penggunaan kereta daripada tiga kepada satu saja ke? Atau jual basikal mahal anda ke?
- Jangan berbelanja besar, jangan pergi ke pasar raya besar untuk beli barang dapur. Macam saya, saya hanya pergi ke kedai runcit untuk beli barang dapur setiap minggu. Sebabnya adalah, kalau anda pergi ke pasar raya, awalnya anda nak beli 10 barang saja tapi akhirnya anda ‘terlajak’ beli 15 barang. Haha.
- Jadikan gaya hidup keluarga anda seminimum mungkin, menyimpan dengan baik, berbelanja atas kesederhanaan dan kemampuan, bukan nafsu.
Apa yang anda kena buat?
- Jangan tunggu lagi, bertindak segera, cari kerja secepat mungkin, jangan ‘berkira’ sangat tentang apa yang anda mungkin dapat nanti, kerja apa yang ada nanti. Kebaih (kebas) je apa job yang dapat dulu.
- Rajin, rajin, rajin dan rajin.
- Tawakkal, doa dan InsyaAllah masa anda (rezeki) akan tiba.
Sekian dari bilik berita saya.
Yang benar,
Singautara
Rider Dego, Grab, GoGetter dan BungkusIt.
Profil LinkedIn boleh dirujuk di SINI.
Sumber: Yukhairi Yahaya SingaUtara