Dipercayai gara-gara memicit bahagian hidung yang disangka bintik hitam, seorang remaja kini dilaporkan menderita apabila mukanya menjadi bengkak hingga hampir hilang penglihatan.
Menurut Mirror UK, remaja berusia 17 tahun itu telah memicit jerawat di atas hidungnya pada tahun lalu. Remaja berasal Filipina itu dikatakan menyangka ia hanyalah bintik yang muncul akibat perubahan hormon selepas melahirkan anak lelakinya pada usia 16 tahun.
Namun demikian, selepas memicit bahagian berkenaan, dia mendakwa ia menjadi sakit sebelum merebak ke seluruh muka.
Lapor portal itu, remaja berkenaan berkata, kawasan itu kemudiannya membengkak seperti belon yang kembung.
Kini, tumbesaran misteri itu dikatakan telah meliputi wajahnya termasuk mata dan mula menyebabkan remaja itu hilang penglihatan.
“Saya ingat ia hanya jerawat biasa, tetapi ia amat sakit sehingga saya tidak dapat tidur malam. Saya cuba segalanya untuk merawat namun tidak berkesan. Sekarang, saya rasa muka saya tak akan menjadi serupa seperti dulu lagi,” katanya.
Suami remaja itu yang bekerja di ladang dilaporkan tidak mempunyai wang yang cukup untuk membiayai kos rawatan isterinya.
Susulan itu, keluarga tersebut terpaksa meminta pertolongan orang ramai bagi mengumpul dana agar dapat menampung kos rawatan wanita itu.
“Saya ingin meminta pertolongan anda yang baik untuk menderma supaya dapat menghantar isteri saya ke hospital.
“Kami hanya mempunyai pendapatan cukup untuk diri sendiri dan anak yang berusia satu tahun, jadi kami tidak mampu menanggung kos perubatannya,” ujar lelaki itu seperti dilapor Mirror UK.

Sumber: Mirror UK