BARCELONA – Empat singa di Zoo Barcelona, Sepanyol disahkan positif COVID-19, lapor Channel News Asia.
Tiga ekor singa betina yang diberi nama Zala, Nima dan Run Run serta singa jantan, Kiumbe dilaporkan mempunyai gejala ringan virus tersebut. Empat singa tersebut didakwa mengalami gejala selesema yang ringan malah kelihatan sukar bernafas.
Dengan itu, pihak berkuasa telah melakukan ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) terhadap empat singa tersebut melalui cara yang sama seperti manusia.
Tambahnya, kejadian itu adalah kali kedua terjadi sepanjang berlakunya wabak pandemik COVID-19. Kejadian pertama telah berlaku di Bronx, New York yang melibatkan empat harimau dan tiga singa pada bulan April. Bagaimanapun, empat harimau dan tiga singa telah dilaporkan pulih.
“Zoo Barcelona telah menghubungi dan bekerjasama dengan pakar antarabangsa seperti Perkhidmatan Veterinar Zoo Bronx, satu-satunya yang telah mendokumentasikan kes jangkitan Sars-CoV-2 pada haiwan,” kata kakitangan Zoo Barcelona dalam satu kenyataan.
Selain itu, dua kakitangan di zoo tersebut juga didapati positif COVID-19 setelah wabak tersebut dikesan buat pertama kalinya pada bulan yang lalu.
Sumber: Channel News Asia