Sesetengah orang suka warnakan rambut untuk kelihatan cantik. Ya, siapa yang tak suka jika rambut mereka kelihatan cantik kan? Ada juga yang warnakan rambut atas faktor usia kerana ingin menutup helaian uban pada rambut mereka.
Namun, terdapat beberapa masalah yang terjadi iaitu alahan terhadap pewarna rambut ini. Tetapi tahukah anda, penggunaan bahan kimia dalam rambut bukan sahaja mempengaruhi rambut bahkan juga kesihatan si pemakai.
Ikuti penjelasan lanjut daripada seorang ahli kimia, Dr Fatimah Salim tentang bahan kimia dalam pewarna rambut.

Pewarna rambut dikategorikan kepada tiga jenis iaitu temporary (sementara), semi-permanent (separa kekal) dan permanent (kekal) bergantung kepada warna yang dihasilkan dan daya ketahanan.
Antara pewarna rambut yang digunakan secara meluas adalah bahan kimia paraphenylenediamine (PPD). Ini kerana kualiti warna hasilnya yang kelihatan seakan semulajadi dan bersifat kekal walaupun dibasuh dengan syampu berulang kali. Dan hanya dengan PPD sahaja warna rambut kelabu dapat diperolehi.
Umumnya PPD adalah selamat digunakan sebagai pewarna rambut kerana ianya diregulasi of European Cosmetics Directive, 76/768/EEC (revised No. 1223/2009). Kandungan PPD yang dibenarkan adalah hanya sehingga 2% pada rambut.
Bagaimana PPD memberikan warna kepada rambut?
Bahan kimia PPD sendiri tidak berwarna. Namun hasil tindakbalas pengoksidaannya dalam keadaan beralkali akan menghasilkan warna yang pelbagai pada rambut. Bahan pengoksidaan yang biasanya digunakan adalah hydrogen peroxide dan agent alkali PPD pula biasanya ammonia.
Semakin gelap warna yang diingini, semakin tinggi kepekatan bahan kimia PPD yang digunakan. Warna yang gelap sesuai dengan rambut individu yang lebih gelap seperti orang Asia.
Kesan sampingan PPD?
Bahan dan cara penyediaan yang tidak sempurna akan menyebabkan PPD yang tidak teroksida sepenuhnya. Keadaan ini boleh menyebabkan reaksi seperti iritasi, ruam kering, pedih dan gatal kepada kulit yang terdedah. Untuk mengelakan kesan sampingan disebabkan pengoksidaan PPD yang tidak sempurna, pastikan mendapatkan servis daripada pusat kecantikan yang diyakini.
Untuk produk pula, pastikan beli daripada pengeluar yang punya reputasi baik dan patuhi arahan penyediaan pada label.
Pendedahan PPD kali pertama kepada individu sensetif biasanya tidak memberikan kesan, namun pendedahan berikutnya boleh menjadi teruk. Antara gejala alahan PPD adalah ruam kemerahan, lecet dan bengkak pada kelopak mata atas, cuping telinga, kulit kepada, muka, leher, tangan dan kaki (lihat contoh gambar di bawah).
Tindakbalas sistematik badan terhadap PPD boleh membawa kepada anaphylaxis (respond berlebihan sistem imuniti badan).
Antara gejala selain masalah kepada kulit adalah pening, loya dan muntah, pembengkakan pada kerongkong dan lidah, kesukaran bernafas dan pengsan. Jika tidak dirawat ianya boleh menyebabkan kematian.
Masalah pada kulit yang sensetif juga boleh berpanjangan kepada hyperpigmentasi dan parut. Walaupun jarang, PPD juga dipercayai boleh menyebabkan leukoderma atau vitiligo iaitu keadaan di mana kulit kehilangan sel pigmen melanocytes kepada individu yang cenderung secara genetik.
Oleh itu, produk pewarna yang mengandungi PPD dan bahan kimia terbitannya (derivatives) mempunyai label AMARAN pengesyoran agar pengguna melakukan ‘patch test’ sebelum mengaplikasikan pewarna rambut jenis ini.
Pun begitu, keputusan negatif dalam ‘patch test’ ini tidak menjamin sepenuhnya individu adalah bebas daripada kesan sampingan PPD.
Adakah pewarna rambut semulajadi lebih selamat?

Tidak semestinya. Semua produk kosmetik tidak kira sintetik atau natural adalah tertakluk kepada peraturan penilaian keselematan yang sama.
Badan kita tidak mampu membezakan bahan kimia natural atau sintetik. Sekiranya bahan kimia itu tidak selamat, tidak kiralah diperolehi secara semulajadi atau dihasilkan di makmal, ianya tetap akan diharamkan.
Bagi mereka yang berkulit sensetif dan alah kepada bahan kimia PPD, boleh memilih pewarna jenis sementara atau separa-kekal seperti inai (henna). Pun begitu, berhati-hati dengan produk inai yang mungkin juga dicemarpalsu dengan bahan kimia PPD ini agar lebih kekal lama warnanya.
Nota: Ingat, bukan semua individu alah kepada PPD sebab itu ianya dibenarkan sebagai pewarna rambut. Maka, kenali badan sendiri dan usah pukul rata. Individu yang sensetif dan mempunyai masalah kesihatan sedia ada berkaitan harus lebih berhati-hati.
Semoga bermanfaat!
ChM Dr Fatimah Salim
Ahli Kimia
Sumber: Fatimah Salim