Setiap ubat perlu disimpan dengan cara yang betul seperti yang disarankan oleh doktor. Tidak semua ubat sama tempat penyimpanannya. Ada yang perlu disimpan pada suhu bilik, peti sejuk atau pada tahap beku. Sekiranya anda simpan ubat dengan cara yang tidak betul, ubat tersebut mungkin tidak akan dapat bertahan lama.
Sesetengah ubat di hospital atau klinik yang disimpan di suhu bilik perlu diletakkan di peti sejuk apabila dibawa pulang. Ada juga ubat di klinik atau farmasi disimpan di peti sejuk dan perlu diletakkan pada suhu bilik. Semuanya bergantung pada jenis ubat yang diambil.
Arahan ubat disimpan di dalam peti sejuk bukan diletakkan begitu sahaja. Anda perlu kawal suhu dan pastikan ubat ditutup dengan rapat.
Berikut merupakan tips menyimpan ubat dengan cara yang betul menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Tips Mengetahui Cara Penyimpanan Ubat
Bagaimanakah cara mengetahui cara penyimpanan ubat yang betul? Anda boleh mengikuti tips-tips berikut:
- Cara penyimpanan ubat biasanya dinyatakan pada sisi kotak atau bungkusan asal ubat.
- Cara penyimpanan ubat boleh didapati dalam sisipan produk di bawah tajuk “penyimpanan” atau “storage”.
- Pihak farmasi mungkin meletakkan pelekat dengan arahan penyimpanan pada bekas ubat.
- Anda boleh bertanya terus kepada ahli farmasi yang memberi ubat.
Ubat Simpanan Peti Sejuk
Jika arahan pada bungkusan ubat menyatakan “simpan pada suhu 2 – 8°C”, “keep refrigerated” atau “store at 2 – 8°C” ia bermaksud anda perlu menyimpan ubat tersebut dalam peti sejuk.
Peti sejuk di farmasi terdapat alat kawalan suhu dan penanda suhu semasa. Namun, kebanyakan peti sejuk domestik tidak menunjukkan suhu semasa peti sejuk. Oleh itu, langkah-langkah berikut disarankan untuk penyimpanan ubat dalam peti sejuk domestik:
- Simpan ubat di rak tengah peti sejuk serta jarakkan dari barang-barang lain dalam peti sejuk.
- Jauhkan ubat dari bahagian sejuk beku dan lubang udara untuk mengelak pembentukan kristal ais yang merosakkan ubat.
- Tidak menyimpan ubat di bahagian pintu peti sejuk kerana ubat akan terdedah kepada suhu yang tidak sekata setiap kali pintu peti sejuk dibuka.
- Pastikan ubat sukar dicapai oleh kanak-kanak.
Antara ubat yang perlu disimpan dalam peti sejuk di farmasi dan di rumah ialah seperti berikut:
- Suntikan insulin (yang belum digunakan)
- Suntikan erythropoietin (contoh: Eprex® dan Recormon®)
- Sesetengah suntikan interferon (contoh: Pegasys®)
- Suntikan filgrastim (contoh: Neupogen®)
- Ubat titis mata (contoh: latanoprost (Xalatan®) dan chloramphenicol)
- Ubat titis telinga (contoh: chloramphenicol)
- Semburan hidung synthetic salmon calcitonin (contoh: Miacalcic®)
- Ubat titis mulut alfacalcidol (contoh: One-Alpha®)
- Kapsul ritonavir (contoh: Norvir®)
Selain itu, sesetengah sediaan ubat yang dibancuh atau dicairkan di fasiliti kesihatan juga perlu disimpan dalam peti sejuk. Ubat-ubat ini biasanya mempunyai tarikh luput yang lebih pendek. Contohnya ialah:
- Ubat minum seperti suspensi omeprazole dan sirap spironolactone
- Ubat titis mata seperti cyclosporin dan sodium chloride 3%
- Ubat titis telinga seperti sodium bicarbonate 5%
- Ubat sirap / suspensi antibiotik (yang dibancuh dari serbuk) seperti suspensi amoxycillin
Ubat Simpanan Dingin Beku
Ubat simpanan dingin beku bermaksud ubat yang disimpan di bawah paras beku iaitu -10 hingga -20°C. Sesetengah jenis vaksin dan ubat pesari perlu disimpan dalam suhu dingin beku di fasiliti kesihatan dan hanya diletakkan pada suhu bilik sejurus sebelum digunakan.
Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini hanya digunakan ke atas pesakit di dalam fasiliti kesihatan. Ini bermakna pesakit tidak dibekalkan dengan ubat tersebut untuk dibawa balik ke rumah.
Keperluan Mengekalkan Suhu
Tiga sebab utama ubat disimpan dalam peti sejuk adalah untuk:
- Mengekalkan keberkesanan ubat.
Ubat simpanan sejuk akan hilang keberkesanannya apabila diletakkan di luar suhu yang disarankan selepas tempoh tertentu. Jangka masa ketahanan adalah bergantung kepada jenis ubat dan biasanya dinyatakan dalam sisipan produk.
- Mengekalkan kesterilan ubat.
Steril bermaksud ubat bebas daripada mikroorganisma seperti bakteria. Sesetengah ubat, terutama ubat titis mata atau telinga yang dibancuh di fasiliti kesihatan secara aseptik (bebas kuman) dan tanpa pengawet perlu sentiasa disimpan dalam keadaan sejuk untuk melambatkan pembiakan bakteria.
- Mengekalkan bentuk fizikal ubat.
Sesetengah ubat dalam bentuk supositori perlu disimpan dalam peti sejuk supaya tidak mencair sebelum digunakan.
Walau bagaimanapun, bukan semua ubat yang disimpan dalam peti sejuk di farmasi perlu disimpan dalam keadaan yang sama oleh pesakit di rumah. Contohnya, insulin yang sedang digunakan boleh diletakkan pada suhu bilik dengan ketahanan sehingga sebulan, bergantung kepada jenis insulin.
Terdapat juga ubat yang pada asalnya disimpan pada suhu bilik di farmasi tetapi perlu disimpan dalam peti sejuk semasa digunakan. Contohnya ialah kebanyakan sirap antibiotik dalam bentuk serbuk yang dibancuh dengan menambah air seperti amoxicillin trihydrate. Walaupun disimpan dalam peti sejuk setelah dibancuh, sirap antibiotik tersebut hanya bertahan selama tujuh hari sebelum hilang keberkesanannya.
Tips Untuk Perjalanan
Perjalanan membawa ubat boleh mengambil masa yang lama dan mendedahkan ubat kepada persekitaran panas yang menjejaskan kualitinya. Jika anda terpaksa melakukan perjalanan dengan ubat-ubat simpanan peti sejuk, pastikan anda mempunyai bekas kalis haba dan pek ais.
Bekas kalis haba dan pek ais boleh dibeli di pasaraya atau kedai barangan bayi. Anda juga boleh membuat pek ais sendiri dengan memasukkan ketulan ais ke dalam plastik kalis bocor kemudian dibalut dengan kain.
Berikut adalah tips perjalanan dengan membawa ubat simpanan peti sejuk:
- Simpan ubat dalam bekas kalis haba yang berisi pek ais.
- Pastikan ubat tidak tersentuh secara langsung dengan pek ais untuk elakkan ubat membeku.
- Bawa bekas kalis haba bersama-sama di tempat duduk penumpang.
- Jika terpaksa berhenti dan keluar dari kenderaan, bawa bersama-sama bekas kalis haba tersebut.
- Simpan ubat dalam peti sejuk sebaik sahaja tiba ke destinasi.
Rantaian Sejuk
Ubat simpanan peti sejuk sensitif terhadap perubahan suhu dan akan rosak apabila terdedah kepada suhu di luar julat untuk tempoh tertentu. Oleh itu, suhu yang sesuai perlu dikekalkan sepanjang proses pemindahan ubat tersebut dari kilang ke tangan pesakit. Pengekalan julat suhu yang sesuai sepanjang proses pemindahan ubat dipanggil rantaian sejuk atau “cold chain”.
Ubat-ubat simpanan peti sejuk yang telah terdedah kepada suhu bilik adalah berbeza dari segi ketahanannya. Sebagai contoh, insulin boleh bertahan sehingga sebulan pada suhu bilik tetapi filgrastim dan erythropoietin hanya bertahan beberapa jam sebelum hilang keberkesanan.
Oleh itu, pesakit akan dinasihatkan untuk membawa bekas kalis haba dan pek ais jika mereka dibekalkan dengan ubat-ubat simpanan peti sejuk yang tidak mampu bertahan lama.
Kesimpulan
Sesetengah ubat perlu disimpan dalam peti sejuk untuk mengekalkan keberkesanan, kesterilan atau bentuk fizikalnya. Anda perlu peka dengan label ubat dan arahan penyimpanan yang diberikan oleh ahli farmasi. Amalkan tips perjalanan yang disarankan supaya kualiti ubat simpanan sejuk kekal terpelihara.
Sumber : MyHealth KKM