Siakap Keli

Tukar MB Tiga Kali Sejak PRU14, Cerminan Kegagalan Kepimpinan Politik – Sultan Nazrin

KUALA KANGSAR, 10 Dis – Tiga kali istiadat pelantikan menteri besar dalam satu penggal yang sama sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu bukanlah satu kejayaan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sebaliknya jelas Baginda, kemelut politik yang melanda Perak kini telah menjadi sejarah yang tidak boleh dibanggakan, di samping menunjukkan kegagalan ahli politik mendapat sokongan rakyat.

“Sejak berlangsungnya PRU ke-14, sudah tiga kali istiadat pelantikan menteri besar dilakukan, perkara yang mencatatkan sejarah baharu yang tidak pernah berlaku dalam sesuatu penggal Dewan Negeri sebelum ini.

“Tetapi perkara ini bukanlah sejarah yang mampu dibanggakan, (sebaliknya) perkara yang berlaku akan tercatat dalam sejarah sebagai cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan.

“(Iaitu) kegagalan kepimpinan dalam kalangan ahli-ahli politik mendapat jaminan sokongan padu secara bersistem untuk membolehkan fikiran dan tenaga ditumpukan (untuk) mentadbir urus negeri secara terbaik bagi kepentingan rakyat,” titahnya dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Baginda turut bertitah bahawa setiap ahli politik yang dilantik seharusnya menjalankan tanggungjawab dengan baik, ekoran mereka dipilih atas kepercayaan rakyat.

“Rakyat meletakkan harapan bahawa anda akan dapat membantu untuk menambahbaikkan kawasan tempat tinggal mereka, membantu menyediakan pelbagai keperluan dan perkhidmatan, membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka serta membantu memenuhi sebanyak mungkin keperluan sosial mereka,” tambahnya lagi.

Semalam, kerajaan Perikatan Nasional menerusi persepakatan tiga partinya; Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Barisan Nasional (BN) dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersetuju mencadangkan Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Hari ini bekas Exco Perak, Saarani Mohamad mengangkat sumpah dan secara rasminya dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baharu, menggantikan Ahmad Faizal Azumu yang meletak jawatan pada 5 Dis lalu.

Kenyataan Baginda boleh dirujuk melalui siaran langsung RTM pada minit ke-28.

 

Sumber: BERNAMA, RTM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'