Siakap Keli
Gambar: The Guardian

(Video) Detik-detik Roket Prototaip SpaceX Meletup Semasa Mendarat Dalam Ujian Penerbangan

Prototaip roket dihasilkan SpaceX dilaporkan meletup ketika percubaan mendarat selepas dilancarkan dalam ujikaji roket berkenaan semalam.

Menurut The Guardian, video siaran langsung pelancaran roket Starship itu menunjukkan ia cuba mendarat sebelum secara tiba-tiba meletup dan berkecai.

Roket bersaiz bangunan 16 tingkat itu dibangunkan syarikat persendirian angkasa Elon Musk bagi membawa manusia dan kargo 100 tan dalam misi ke Marikh dan bulan, lapor portal itu.

Uji kaji pelancaran roket itu bertujuan untuk mencapai altitud 41,000 kaki, bersamaan 12,500 meter dan digerakkan oleh tiga enjin Raptor dibangunkan SpaceX. Bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan sama ada prototaip berkenaan berjaya mencapai ketinggian tersebut, lapor The Guardian.

Kesilapan pendaratan itu dipercayai berpunca daripada tekanan tangki bahan api yang rendah ketika mendarat, menyebabkan kelajuan pendaratan menjadi tinggi.

Bagaimanapun, Musk berkata syarikatnya telah mendapatkan semua data yang diperoleh daripada ujian tersebut dan menganggap fasa pendakian roket itu satu kejayaan.

Biarpun prototaip itu berakhir dengan letupan, Musk dilaporkan menulis, “Mars kami datang!” di ciapan Twitternya.

Sumber: The Guardian, SpaceX

Amira

Love yourself.