Mungkin ramai diantara kita yang mempunyai masalah perut buncit bukan? Perut buncit ini bukan sahaja dapat mengurangkan faktor keyakinan seseorang itu, malahan ianya juga tidak berapa baik untuk kesihatan.
Apakah punca perut buncit ini sebenarnya? Pasti ramai yang tertanya-tanya tentang punca sebenarnya. Sehubungan dengan itu, portal Hello Doktor ada berkongsikan tentang punca serta apakah cara yang sesuai untuk mengatasi masalah ini.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penjelasannya seperti berikut:
Apakah yang sering menjadi kebimbangan dalam menjaga imej dan ciri fizikal seseorang individu? Tona kulit yang tidak sekata, rambut yang kerap gugur atau perut buncit? Antara ketiga-tiga masalah tersebut, perut buncit adalah masalah yang paling berkaitan dengan perubahan gaya hidup yang kurang sihat. Oleh itu, bagaimanakah cara untuk anda menghilangkan lapisan lemak berlebihan di bahagian tubuh anda untuk mendapatkan berat badan ideal sekaligus mencantikkan bentuk tubuh? Ikuti penulisan dibawah berkenaan pengurusan berat badan dan kaedah mengurangkan trend perut buncit.
Perut buncit tanda toksin berlebihan?
Toksin diertikan sebagai bahan yang boleh menyebabkan kesan berbahaya kepada tubuh. Sistem imun tubuh, hati dan buah pinggang berfungsi secara bersama untuk menyingkirkan toksin pada kadar yang sama. Apabila tahap toksin melebihi keupayaan tubuh untuk membuangnya, ia terkumpul dan disimpan sehingga ia boleh dikeluarkan. Anda boleh berkemungkinan mempunyai toksin yang disimpan di dalam tubuh selama bertahun-tahun tanpa mengalami sebarang simptom negatif. Walau bagaimanapun, anda akan mula berasa sakit apabila tahap toksin menjadi terlalu tinggi. Toksin berasal daripada sumber alam sekitar, amalan gaya hidup yang tidak sihat, toksin dalaman yang dicipta oleh tubuh dan juga emosi anda. Berikut merupakan antara tanda-tanda toksin yang tersimpan secara berlebihan dalam tubuh manusia:
- Sentiasa keletihan
Walaupun anda tidur dengan lancar tanpa mengalami sebarang masalah atau gangguan, anda mungkin berusaha mendapatkannya sepanjang hari. Ini boleh menjadi tanda bahawa tubuh anda bekerja terlalu keras untuk menyingkirkan toksin yang anda ambil. Bagaimana anda menghadapi keletihan yang anda alami? Jika jawapan anda adalah “mengambil lebih banyak kopi” atau “makanan manis,” anda hanya menjadikan masalah lebih teruk. Keletihan itu juga boleh menjadi tindak balas kepada gangguan hormon yang mengetepikan sistem pertahanan tubuh badan atau imun anda.
- Kesukaran dalam menurunkan berat badan
Adalah tidak mudah untuk anda menurukan berat badan. Tetapi jika anda telah bersenam setiap hari, mengurangkan pengambilan kalori tetapi berat badan anda masih bertambah, anda mungkin mengalami masalah yang berkaitan dengan hormon. Fungsi hormon semulajadi seseorang sangat dipengaruhi oleh toksin dalam makanan dan produk penjagaan diri. Anda memerlukan diet detoks atau nyah-toksin lengkap dan rutin penjagaan diri untuk memberikan peluang kepada anda untuk melawannya.
- Sembelit
Selain sakit perut, sembelit boleh menyebabkan sakit kepala dan keletihan. Ia juga boleh dikaitkan dengan toksin dalam hidup anda, terutamanya jika anda memakan banyak makanan yang diolah dengan bahan kimia, racun perosak dan pengawet.
- Sakit otot
Toksin sebenarnya memberi kesan kepada otot dan sendi anda. Sekiranya anda tidak melakukan aktiviti fizikal untuk menyingkirkan toksin menerusi peluh, toksin akan sentiasa bertambah serta mendominasi otot dan sendi sehingga mengakibatkan keadaan kesihatan kritikal yang lain. Oleh itu, pastikan anda sentiasa bersenam atau melakukan aktiviti fizikal secara berkala bagi memastikan toksin tidak mendatangkan kemudaratan serta mengakibatkan kegagalan fungsi otot dan sendi.
- Nafas yang berbau
Walaupun dengan penjagaan kebersihan mulut yang betul, nafas berbau boleh menjadi simptom yang lebih teruk. Ia sebenarnya menjelaskan keadaan di sepanjang bahagian dalaman usus anda. Nafas berbau boleh dikaitkan dengan masalah pencernaan, tetapi ia juga boleh bermakna bahawa hati anda sedang bergelut untuk menyingkirkan toksin dalam tubuh anda.
- Masalah kulit
Jerawat, ruam, dan masalah kulit yang lain mungkin menandakan toksin yang berlebihan. Jerawat khususnya, boleh dikaitkan dengan toksin dalam diet atau produk penjagaan kulit anda. Mata bengkak dan ekzema atau psoriasis juga boleh menjadi tanda bahawa anda mencapai kapasiti toksin yang boleh ditanggung oleh tubuh anda.
- Peka terhadap bau
Sekiranya anda memberi tindak balas terhadap bahan-bahan yang mempunyai bau-bauan seperti wangian khususnya, badan anda mungkin cuba memberitahu anda bahawa ia terlalu sensitif terhadap bahan kimia. Ia juga boleh bermakna bahawa tubuh anda sedang melawan toksin berlebihan. Terutama jika anda mengalami sakit kepala atau sakit perut hanya disebabkan oleh kehadiran aroma.
Apakah langkah yang saya boleh lakukan untuk mengelakkan perut buncit?
Perut buncit atau boroi adalah satu masalah yang sering berlaku terutamanya dalam kalangan kaum lelaki. Tetapi ini tidak bermakna bahawa golongan perempuan tidak berpotensi untuk mendapat perut buncit memandangkan pengamalan gaya hidup yang tidak sihat boleh melibatkan sesiapa sahaja. Memiliki perut yang buncit bukan sahaja mempunyai rupa bentuk yang tidak menyenangkan, malah tidak baik untuk kesihatan anda. Untuk menghilangkan perut buncit sebenarnya bukanlah satu perkara yang amat sukar. Ia berkait rapat dengan pengamalan gaya hidup sihat seperti diet yang teratur dan sihat, pemakanan secara sederhana, pelaksanaan aktiviti fizikal secara harian dan pengurusan stres yang baik. Anda boleh mengikuti beberapa cadangan seperti dibawah jika anda menginginkan perut yang lebih cantik dan lebih sihat.
- Elakkan gula dan minuman bergula
Gula berlebihan adalah sangat tidak sihat untuk tubuh badan. Gula dalam darah dikawal oleh hati pada had tertentu. Apabila melebihi had kapasiti tersebut, ia akan ditukarkan menjadi lemak yang akan terkumpul di seluruh badan termasuk perut. Mengelakkan pengambilan gula secara sepenuhnya dalam hidup berkemungkinan agak sukar. Namun, anda boleh mengelakkan minuman bergula terutamanya minuman berkarbonat yang tiada khasiat melainkan kandungan gula dan kalori semata-mata. Bukan air berkarbonat sahaja mempunyai kandungan gula yang tinggi tetapi banyak lagi makanan lain yang mungkin anda tidak sangka termasuklah:
- Sos cili, tomato, dan barbeku.
- Jus buah.
- Susu coklat.
- Sup segera.
- Buah-buahan dalam tin.
Selain gula, jangan lupa juga untuk mengurangkan pengambilan lemak tepu dalam makanan seperti:
- Produk tenusu – mentega, krim, dan keju.
- Minyak kelapa sawit.
- Santan.
- Makanan segera bergoreng.
- Snek segera.
- Banyakkan pengambilan protein
Elemen utama yang perlu dimasukkan ke dalam diet untuk menurunkan berat badan adalah protein. Ia didapati mampu mengekalkan rasa kenyang dan memberikan tenaga yang banyak. Rasa kenyang yang lama membantu mengurangkan pengambilan kalori. Oleh itu, tingkatkan pengambilan protein dalam diet anda melalui makanan seperti telur, makanan laut, kekacang, daging dan produk tenusu.
- Kurangkan karbohidrat
Ini adalah sangat efektif dalam mengurangkan berat badan berlebihan. Menurut beberapa kajian, diet yang rendah karbohidrat membawa kepada penurunan berat badan 2 hingga 3 kali ganda lebih tinggi berbanding diet rendah lemak. Malah, walaupun diambil dalam jumlah yang banyak, diet rendah karbohidrat masih lebih efektif berbanding diet rendah lemak. Diet ini juga menyebabkan kehilangan berat air. Oleh itu, kesan mungkin dapat dilihat seawal 1 atau 2 hari. Karbohidrat sememangnya adalah sumber tenaga untuk badan, tetapi tidak semua karbohidrat adalah sihat. Tubuh mengubah karbohidrat tertentu, seperti roti putih dan pasta putih, menjadi glukosa. Apabila seseorang menggunakan lebih banyak glukosa daripada yang diperlukan, tubuh menyimpan lebihan glukosa tersebut sebagai lemak. Seseorang yang ingin mengurangkan jumlah lemak perut buncit mereka harus mengehadkan pengambilan karbohidrat halus. Anda boleh mengambil pilihan sumber karbohidrat yang lebih sihat seperti bijiran penuh.
- Tambah pengambilan serat dalam diet anda
Selain protein, serat juga boleh membuatkan rasa kenyang lebih lama. Selain itu, serat tidak larut air (bijiran penuh, gandum, sayur-sayuran) membantu mencegah sembelit dan serat larut air (buah-buahan, kekacang) merendahkan kadar kolesterol dalam darah. Amalkan makanan kaya serat seperti sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari. Serat membantu anda kekal kenyang dalam tempoh yang lebih lama seterusnya mengurangkan keinginan untuk makan banyak. Ia juga menggalakkan pertumbuhan bakteria baik di dalam usus yang dikaitkan dengan berat badan yang sihat.
- Makan badam
Kacang badam atau almond bukan sekadar enak, tetapi ia juga kaya dengan kandungan serat yang menjadikan ia makanan pilihan ramai individu. Kajian telah menunjukkan bahawa mereka yang mengamalkan pengambilan badam setiap hari, akan menyingkirkan lebih banyak lemak abdomen berbanding mereka yang tidak mengamalkannya.
- Senaman angkat berat
Senaman rintangan seperti angkat berat tiga kali seminggu boleh membantu anda membakar banyak lemak di bahagian perut atau abdomen. Ini adalah kerana otot yang aktif akan meningkatkan metabolisme badan. Namun, jangan tinggalkan rutin senaman ringan anda. Ia adalah penting dalam penurunan berat badan secara am.
- Gunakan pinggan kecil
Saiz pinggan yang kecil membuatkan pinggan lebih cepat penuh dan akan memberikan tanggapan bahawa makanan yang anda ambil adalah banyak. Oleh itu, ia dapat mengurangkan saiz hidangan. Tetapi jangan pula menambah makanan secara berlebihan jika pinggan anda sudah licin.
- Makan di luar? Ambil separuh daripada saiz hidangan biasa
Sekali-sekala apa salahnya meluangkan masa makan di luar selepas jemu dengan masakan di rumah. Dapat juga meluangkan masa bersama keluarga dan rakan dalam suasana berbeza. Jika anda berniat untuk makan di luar, ambil separuh sahaja daripada saiz hidangan biasa. Ini kerana, anda tidak mengetahui dan tidak boleh mengawal seberapa banyak garam, gula atau perasa tambahan yang dimasukkan ke dalam makanan tersebut.
- Banyakkan meminum air putih
Lebihkan pengambilan air putih yang lebih berkhasiat serta membantu mengekalkan rasa kenyang dan mengurangkan pengambilan makanan. Minum segelas air sebelum makan juga boleh mengisi perut dan membantu dalam mengawal pengambilan bahagian (portion) semasa makan. Anda boleh meminum air putih atau boleh juga mencampurkannya dengan buah sitrus, timun, atau buah beri untuk menambahkan rasa. Minum teh herba adalah satu lagi cara terbaik untuk kekal terhidrasi.
- Lakukan senaman kardio
Senaman kardiovaskular atau aerobik adalah anatara cara terbaik untuk seseorang membakar kalori dan meningkatkan kesihatan jantung. Banyak latihan kardio berkesan dalam membuang lemak dan menguatkan bahagian perut seseorang individu. Beberapa contoh senaman kardio termasuklah aktiviti berlari, berjalan, dan berenang. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa senaman aerobik yang sederhana dapat mengurangkan lemak dalam kalangan individu yang berlebihan berat badan, walaupun tanpa pengurangan pengambilan kalori.
- Ambil lebih banyak asid lemak tidak tepu tunggal
Asid lemak tidak tepu tunggal, yang sering disebut sebagai “lemak baik”, terdapat dalam bentuk lemak yang cair pada suhu bilik. Sumber-sumber asid lemak tidak tepu tunggal yang sihat termasuklah:
- Avokado
- Minyak zaitun
- Kekacang
- Minyak bijan
- Mentega kacang tanpa gula tambahan
Kajian sistematik yang dijalankan pada tahun 2016 mendapati bahawa diet yang kaya dengan asid lemak tidak tepu tunggal dapat membantu mengurangkan berat badan.
- Banyakkan pergerakan
Individu yang ingin kehilangan lemak perut boleh mencuba dengan memperbanyakkan pergerakan dan aktiviti tambahan sepanjang hari, terutama jika mereka pada kebiasaannya menghabiskan sebahagian besar hari dengan duduk di tempat kerja. Contoh-contoh aktiviti kecil yang boleh dilakukan termasuklah:
- Memilih untuk menggunakan tangga berbanding eskalator atau lif
- Berjalan kaki
- Menggunakan meja berdiri
- Melakukan gerakan mudah dan kecil seperti menggerakkan tangan dan kaki
- Melakukan aktiviti regangan setiap hari
Satu kajian juga telah menunjukkan bahawa dengan menambah pergerakan tambahan ini dapat membantu seseorang membakar sehingga 2,000 kalori tambahan sehari, bergantung kepada berat badan dan tahap aktiviti mereka.
- Dapatkan tidur yang mencukupi
Tidur diperlukan untuk kesihatan keseluruhan, termasuk mengekalkan berat badan yang sihat. Penyelidikan yang dijalankan pada tahun 2018 mendapati bahawa kekurangan tidur memberi kesan kepada hormon yang mengawal selera makan seseorang dan boleh menyebabkan mereka berasa lapar. Para penulis menyatakan bahawa peningkatan tempoh tidur dan peningkatan kualiti tidur dapat membantu seseorang individu untuk menghilangkan berat badan. Setiap individu boleh mendapatkan tempoh waktu tidur yang lebih banyak dan meningkatkan kualiti tidur dengan cara berikut:
- Jauhkan peralatan elektronik seperti telefon bimbit daripada bilik tidur
- Tidur 30 – 60 minit lebih awal daripada biasa
- Melakukan peregangan santai atau meditasi sebelum tidur
- Mendapatkan cahaya matahari yang mencukupi di siang hari
- Sentiasa bersenam
- Mengelakkan pengambilan kafein dan alkohol sebelum tidur
- Kurangkan stres
Terdapat hubungan antara stres dan beberapa isu kesihatan. Isu-isu ini termasuk kenaikan berat badan, yang mungkin berlaku kerana sesetengah individu cenderung untuk makan apabila mereka sedang stres. Kesan ini mungkin disebabkan oleh pembebasan kortisol, hormon stres yang boleh meningkatkan selera makan. Cara untuk melegakan stres termasuklah:
- Melakukan senaman aerobik
- Bercakap dengan individu yang disayangi
- Mengutamakan tugas yang penting
- Berehat atau bercuti
- Elak daripada melibatkan diri dengan terlalu banyak projek dan program
- Luangkan masa untuk melakukan hobi yang menyeronokkan
- Amalkan pengambilan probiotik
Probiotik adalah bakteria hidup yang memainkan peranan besar dalam penurunan berat badan dan pengurusan berat badan. Individu yang obes dan berlebihan berat badan telah terbukti mempunyai komposisi bakteria yang berbeza berbanding daripada individu dengan berat badan normal, yang boleh mempengaruhi kenaikan berat badan dan pengagihan lemak. Pengambilan probiotik dengan kerap boleh mengurangkan risiko penambahan berat badan dan pengumpulan lemak dalam rongga perut anda. Beberapa jenis probiotik telah terbukti berkesan untuk mengurangkan lemak perut. Ini termasuklah:
- Lactobacillus fermentum
- Lactobacillus amylovorus
- Lactobacillus gasseri
Makanan probiotik termasuklah beberapa jenis yogurt, kefir, tempe, kimchi dan jeruk. Terdapat juga pelbagai jenis suplemen probiotik yang ada di pasaran. Walau bagaimanapun, suplemen ini biasanya mengandungi beberapa jenis bakteria, jadi pastikan untuk memilih salah satu yang mengandungi sekurang-kurangnya salah satu strain yang disebutkan seperti di atas.
Anda tidak perlu susah hati jika anda rasa semua langkah ini sangat rumit. Anda tidak perlu gopoh dan melakukan semuanya secara drastik. Buat perancangan dan lakukan secara berperingkat. Apa yang benar-benar anda perlukan adalah keazaman dan ketekunan dalam melaksanakan matlamat kesihatan anda. Katakan selamat tinggal kepada perut boroi!
Sumber: Hello Doktor