Siakap Keli
Gambar: Bernama

Highland Towers: KPKT Rancang Jadikan Tapak Bersejarah, Bukan Bina Tugu Peringatan – Zuraida

KUALA LUMPUR, 11 Dis  — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hanya merancang mengindahkan semula tapak kondominium Highland Towers dan menjadikannya sebagai tapak bersejarah.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata KPKT tidak berhasrat membina tugu peringatan di tapak berkenaan  seperti dilaporkan media.

“Hasrat mengindahkan itu bagi memperingati peristiwa tragis yang mengorbankan 48 penghuni kondominium berkenaan pada 11 Disember 1993 yang juga telah melakar sejarah hitam buat negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Zuraida memberitahu kawasan di Highland Towers perlu diberi nafas baharu kerana sebelum ini mengundang rasa kurang senang penduduk setempat kerana masalah sosial yang didakwa berlaku di kawasan itu.

Justeru katanya kawasan dengan bangunan terbiar selama 27 tahun itu akan diceriakan menerusi pembangunan tempat bersejarah serta dalam masa sama dapat menjamin kesejahteraan penduduk di kawasan Highland Towers.

Media sebelum ini melaporkan KPKT merancang bina tugu peringatan di tapak Kondominium Highland Towers.

Tragedi Highland Towers pada tahun pada 11 Disember 1993 menggemparkan negara apabila satu daripada tiga blok kondominium yang terletak di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh dan meragut 48 nyawa.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.