Siakap Keli
Kredit: Daily Mail

Bekas Banduan Dihukum 12 Tahun Penjara Dibebaskan, Penunjuk Perasaan Dilapor Lempar Telur, Maki Hamun Pesalah Kerana Marah

Penunjuk perasaan yang berang bertindak membaling telur dan memaki hamun pesalah jenayah rogol Korea Selatan yang dibebaskan semalam, lapor Daily Mail.

Menurut portal itu, tertuduh yang berusia 69 tahun telah dipenjarakan atas kesalahan memperkosa seorang kanak-kanak berusia lapan tahun pada 2008. Tindakannya itu dikatakan telah menyebabkan pelbagai kecederaan serius terhadap fizikal dan mental mangsa.

Susulan itu, dia telah dipenjara 12 tahun dan kini dibebaskan untuk kembali ke rumahnya di Ansan bawah pemantauan pihak berkuasa. Bagaimanapun, penduduk tempatan dikatakan tetap menganggapnya sebagai risiko kepada komuniti mereka.

Para penunjuk perasaan dikatakan telah membaling telur dan pelbagai objek ketika van yang membawa tertuduh keluar daripada pagar penjara sekitar 6.45 pagi semalam.

Tertuduh yang memakai penutup muka dan topi dilapor tiba di pejabat percubaan di Ansan bagi mendaftar alat pengesan.

Jenayah kejam itu telah menggemparkan Korea Selatan kerana telah menyebabkan kecederaan serius terhadap mangsa termasuk kecederaan usus.

Tragedi itu kemudiannya dijadikan inspirasi bagi sebuah filem bertajuk ‘Hope‘ pada 2013.

Pada 2017, jutaan tanda tangan telah dikumpul bagi membantah pembebasan tertuduh, lapor Daily Mail.

Puluhan penunjuk perasaan mengangkat sepanduk yang menyuruh tertuduh ke neraka di samping ada yang menuntut agar dia dikembiri, tulis portal itu.

Tindakan mereka dikatakan telah menyebabkan kelewatan proses pembebasan tertuduh selama sekitar setengah jam.

Keluarga mangsa khuatir

Bagi meredakan kerisauan penduduk tempatan, pihak berkuasa dilapor telah meningkatkan langkah keselamatan dengan meletakkan sepasukan pengawal bagi memantau kediaman tertuduh 24 jam sehari.

Malah, mereka juga dikatakan memasang 20 kamera keselamatan termasuk lampu jalan baru di kejiranan itu.

Polis Ansan, Mo Youngshin berkata, puluhan pegawai akan meronda secara bergilir-gilir di kejiranan itu setiap hari, lapor Daily Mail.

Bagaimanapun, lapor media tempatan, keluarga mangsa dikatakan bakal berpindah daripada kejiranan itu disebabkan pembebasan tertuduh.

Menurut Daily Mail, memetik laporan JTBC, ayah mangsa mendakwa anaknya menangis ketika mengetahui kepulangan tertuduh ke kejiranan mereka.

“Ini kali pertama ia berlaku sejak dia diserang 12 tahun lalu. Kami semua menangis bersamanya,” ujar bapa mangsa.

Sumber: Daily Mail

Amira

Love yourself.