Siakap Keli

Cemburu Motif Lelaki Orang Asli Bunuh Isteri – Polis

KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) — Motif cemburu dipercayai punca seorang lelaki Orang Asli bertindak mencekik sehingga mati isterinya dalam kejadian di Kampung Liak dekat Pos Brooke, Gua Musang, semalam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata berdasarkan siasatan awal, suspek iaitu lelaki berumur 40 tahun merasa marah apabila mengetahui isterinya menjalinkan hubungan dengan beberapa lelaki sekampung.

Katanya, suspek yang hilang sabar dan marah kemudian dikatakan bertindak mencekik mangsa (isterinya) sehingga mati selepas berlaku pertengkaran antara suami isteri itu.

“Suspek juga dikatakan cuba membunuh diri dengan meminum racun tetapi berjaya diselamatkan selepas dikejarkan ke klinik berdekatan. Sebelum itu, suspek turut mengambil minuman keras selepas membunuh isterinya. Suspek kini menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata suspek dibawa ke mahkamah hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, seorang wanita Orang Asli berusia 38 tahun ditemukan mati selepas dicekik suaminya sendiri di rumah mereka.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.