Penantian seekor beruang betina yang menghabiskan seumur hidupnya di dalam kurungan akhirnya berakhir dengan sebuah kebebasan.
Beruang tersebut, Jambolina diselamatkan oleh badan hak asasi haiwan Four Paws selepas terkurung di dalam kurungan di sebuah pusat sarkas di Ukraine selama 11 tahun sejak 2009 lalu.
Merujuk laporan Daily Mail, perjalanan Jambolina sebagai beruang sarkas bermula seawal usianya baru seminggu selepas dilahirkan pada Januari 2009 lalu di Zoo Yalta, Crimea, selatan Ukraine.
11 tahun ‘dipaksa’ hidup sebagai beruang sarkas serta terkurung di dalam kurungan bersendirian membuatkan Jambolina terpisah daripada kehidupan sebenar seekor beruang.
Selama 11 tahun itulah Jambolina tidak diberi peluang bergaul sesama beruang yang lain.

Bagaimanapun, ‘tugasnya’ tergantung sejak Mac lalu berikutan tiada lagi persembahan sarkas akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia hingga hari ini.
Bermula sejak itu, episod hitam Jambolina terus bersambung apabila ia terus terkurung di dalam kurungan sempit yang tidak berapa sesuai dengan saiznya sepanjang siang dan malam.
Selepas beberapa bulan tiada persembahan sarkas, dalam masa sama tidak mampu lagi untuk membelanya, akhirnya pemilik sarkas menghubungi Four Paws untuk mengambil dan memindahkannya ke tempat lain yang lebih selamat.
Bertindak atas dasar kemanusiaan, beruang malang tersebut akhirnya dibawa keluar pada Selasa dan dipindahkan ke Pusat Santuari Beruang Arosa di Switzerland, kira-kira 2,400 kilometer dari sarkas itu.

Difahamkan, Jambolina terpaksa dibawa ke Switzerland ekoran kapasiti pusat penjagaan beruang Four Paws di Ukraine sudah penuh.
Pengarah Four Paws Ukraine, Taras Boiko memaklumkan, usaha menyelamatkan Jambolina itu bukanlah sesuatu yang mudah berikutan terpaksa merentas tiga negara iaitu Poland, Jerman dan Austria yang mengambil masa empat hari perjalanan.
Tambahan pula kekangan COVID-19 menambahkan lagi cabaran buat mereka.
“Kami harus memastikan keselamatan Jambolina terjamin setiap saat, sementara banyak dokumentasi dan kawalan diperlukan pada bahagian logistik.
“Pihak di Switzerland terlebih dahulu akan memeriksa sama ada Jambolina ingin melakukan hibernasi – yang merupakan perkara biasa dilakukan beruang yang tidak dapat dilakukannya sepanjang dikurung di sana.
“Mereka berharap bahawa naluri semula jadi beruang pada Jambolina akan membantunya untuk kembali kepada kehidupan asalnya,” katanya, memetik laporan tersebut.

Hasil pemeriksaan veterinar mendapati beruang itu mengalami beberapa komplikasi kesihatan seperti giginya yang rosak serta kukunya yang bermasalah.
Jambolina yang selamat tiba di Switzerland perlu menjalani beberapa prosedor rawatan bagi mengembalikan keadannya menjadi seekor beruang yang asal.
Difahamkan, Jambolina kini ditempatkan di dalam sangkar berkeluasan 30 meter persegi bagi tujuan pemantauan buat masa ini.
Pusat Santuari Beruang Arosa ditubuhkan pada 2018 lalu oleh Yayasan Beruang Arosa sebagai usaha pemuliharaan dan pemeliharaan spesies beruang khususnya di Switzerland.

Sumber: Daily Mail