Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Tak Mahu Susahkan Keluarga, Pesakit Kanser Ini Dilapor Upah Pekerja Gali ‘Kubur’ Dan Tunggu Dalam Lubang Untuk Mati

Seorang lelaki warga emas di China yang sedang menderita penyakit barah limfoma dilaporkan telah mengupah pekerja untuk menggali kuburnya selepas kehilangan semua harapan untuk pulih daripada penyakitnya itu, lapor Daily Mail.

Lelaki yang berusia 79 tahun itu dikatakan tidak mampu lagi menanggung penyakit itu selepas menjalani pelbagai rawatan bagi merawat penyakitnya itu.

Ketika keadaan kesihatannya semakin teruk, pesakit tersebut berkeputusan untuk cuba mengakhiri hidupnya supaya tidak menjadi beban kepada isteri dan anak-anaknya, kata pegawai kepada media China.

Lelaki itu dikatakan berada dalam keadaan stabil setelah dia diangkat keluar daripada lubang tersebut oleh polis yang dihubungi ke lokasi kejadian  pada Sabtu di wilayah selatan Hunan, China.

Kejadian itu mendapat perhatian selepas klip rakaman lelaki yang diselamatkan oleh pihak berkuasa dari lubang tersebut berlegar di internet.

Lelaki itu dapat dilihat sedang duduk di dalam lubang tersebut sambil dikelilingi oleh pegawai dan penduduk kampung.

Lelaki tua tersebut difahamkan sedang bertarung nyawa dengan penyakit kanser limfoma yang dihidapinya.

Oleh kerana keadaan kesihatannya semakin memburuk walaupun telah menjalani beberapa rawatan, lelaki tersebut dan anaknya terus pulang ke kampung halaman mereka di Wugang, dari Beijing bagi merancang pengebumian lelaki berkenaan.

Kejadian yang dilaporkan pada Sabtu lalu itu berlaku setelah lelaki tersebut bersama anaknya meninjau tempat pengkebumian dan mengupah pekerja untuk menggali tanah.

Lelaki tersebut kemudiannya masuk ke dalam kubur itu dengan menyatakan bahawa dia akan menunggu kematiannya di sana, menurut laporan.

Pesakit barah itu dikatakan ingin mengakhiri hidupnya agar tidak menjadi beban kepada isteri serta anak-anaknya, kata pihak berkuasa tempatan kepada media.

“Dia sedang sakit tenat,” kata seorang pegawai kepada wartawan. “Dia merasakan bahawa dia tidak akan hidup lama.”

Anak lelakinya difahamkan cuba untuk meyakinkan ayahnya itu untuk pulang bersamanya namun tidak berjaya. Dia pergi meninggalkan ayahnya itu sebentar untuk mengambil makanan.

Lelaki tersebut kemudiannya cuba untuk membunuh dirinya dengan mengelar pergelangan tangannya menggunakan pisau yang dibawanya.

Dia kemudiannya ditemui oleh penduduk kampung yang kemudiannya bertindak menghubungi pihak berkuasa.

Sekumpulan pegawai polis itu kemudiannya masuk ke dalam lubang tersebut bagi mengeluarkan lelaki berkenaan.

Lelaki tersebut dapat dilihat tidak rela dikeluarkan daripada lubang itu.

Dia terus dikejarkan ke hospital selepas kejadian itu. Lelaki tersebut kini dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah kembali ke Beijing bersama anaknya pada Ahad, kata pegawai.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.