Pernah tak anda bangun dari tidur dan berasa susah untuk bernafas dan bergerak? Jika ya anda sedang mengalami sleep paralysis atau lumpuh tidur. Tahukah anda lumpuh tidur bermaksud keadaan di mana keseluruhan otot mengalami kesukaran untuk menggerakkan anggota badan, tidak berupaya untuk bersuara dan sebagainya. Kelumpuhan tidur biasanya di datangi dengan halusinasi seram atau mimpi ngeri.
Perasaan ditindih semasa tidur semestinya satu pengalaman yang ngeri dan menakutkan. Keadaan ini boleh berlaku di semua peringkat umur dan jantina, tidak mengira remaja atau dewasa, semuanya boleh berlaku. Sleep paralysis atau lumpuh tidur bukanlah satu kejadian yang boleh mengancam nyawa namun ianya menimbulkan kerisauan kepada mereka yang pernah mengalaminya dan ada sesetengah dari mereka mengaitkan kejadian ini dengan alam misteri.
Bilakah Lumpuh Tidur Berlaku?
Sleep Paralysis atau lumpuh tidur kebiasaanya berlaku sama ada sekali atau dua kali semasa sedang tidur. Sekiranya perkara ini berlaku semasa sedang tidur ia dipanggil hypnagogic manakala jika ia berlaku semasa anda bangun dari tidur dipanggil hypnopompic.
Lumpuh Tidur “Hypnagogic”
Semasa sedang tidur, badan kita secara perlahan akan bertenang. Kebiasaanya keadaan ini membuatkan kita tidak sedar apa-apa perubahan yang berlaku. Namun jika ada yang masih sedar ketika dalam tidur mungkin menyedari tidak boleh bergerak atau bercakap. Itulah menandakan anda mengalami Sleep Paralysis Hypnagogic.
Lumpuh Tidur “Hypnopompic”
Semasa sedang tidur, badan kita akan mengalami REM (pergerakan mata cepat) dan NREM (pergerakan mata lambat). Kitaran masa tidur REM dan NREM mengambil masa selama 90 hingga 110 minit. Tidur NREM akan berlaku terlebih dahulu dan memakan masa sebanyak 75% daripada keseluruhan waktu tidur. Justeru, NREM yang berlaku membuatkan badan kita berehat dan pada fasa akhir NREM akan membawa kita tidur ke arah REM.
Fasa REM berlaku menyebabkan mata bergerak dengan cepat dan masih dalam keadaan tenang. Segala otot dalam badan akan berhenti semasa tidur. Oleh itu, jika anda sedar semasa REM belum berakhir, anda mendapati tidak boleh bergerak dan seakan sedang ditindih semasa tidur.
Waktu serangan
(1) Hypnopompic Sleep Paralysis- Berlaku ketika baru terlelap dari tidur
(2) Hypnopompic Sleep Paralysis- Berlaku ketika terbangun dari tidur
Apakah Perkara Yang Menyebabkan Lumpuh Tidur Boleh Berlaku?
(1) Kekurangan tidur
(2) Jadual tidur yang tidak teratur
(3) Stress
(4) Tidur keadaan terlentang
(5) Mengalami gangguan mental seperti bipolar
(6) Penyalahgunaan dadah atau alkohol
(7) Penyalahgunaan ubat pada pesakit ADHD

Tanda-tanda Mengalami Lumpuh Tidur
Seseorang yang mengalami lumpuh tidur akan menunjukkan tanda-tanda seperti berikut :
- Menyedari tidak boleh bergerak dan bercakap
- Membayangkan dikelilingi oleh syaitan, makhluk halus, ancaman suara dan bayang-bayang
- Merasakan ada sesuatu tekanan yang kuat pada dada, perut dan juga tekak
- Sukar untuk bernafas, denyutan jantung yang laju dan muka kelihatan tegang
Langkah pencegahan dan rawatan
Sekiranya anda sering mengalami Sleep Paralysis atau lumpuh tidur, anda disarankan untuk mengamalkan langkah-langkah seperti di bawah untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang.
- Mendapatkan tidur yang cukup sekurang-kurangnya 6 hingga 8 jam sehari
- Lakukan perkara yang mengurangkan stress
- Dapatkan posisi tidur yang betul
- Sekiranya anda kerap mengalami lumpuh tidur, dapatkan nasihat doktor bertauliah
- Dalam sesetengah keadaan, doktor akan memberikan ubat anti depresi kepada penghidap sekiranya gangguan semakin teruk
Adakah lumpuh tidur bahaya?
Seseorang yang mengalami lumpuh tidur tidak menyebabkan kesan fizikal atau trauma jangka masa yang panjang. Walaubagaimanapun kejadian ini akan menyebabkan seseorang boleh terganggu dan berhalusinasi dengan sendiri. Kelumpuhan tidur selalunya tidak memerlukan rawatan khas. Namun sekiranya tidur anda diganggui dengan masalah kemurungan, kegelisahan atau bipolar perlu segera dapatkan rawatan perubatan.
Lumpuh tidur yang dialami oleh seseorang mungkin disebabkan perasaan atau boleh terjadi mengikut keturunan. Namun ianya tidaklah berbahaya seperti yang digemparkan oleh masyarakat. Hanya yang mengalaminya sahaja boleh rasakan kejadian ngeri ini.
Walaupun ramai yang mengalami lumpuh tidur ini dan merasakan takut dan gelisah, namun ianya tidaklah mengambil masa yang agak lama untuk bergerak semula. Bagi yang beragama islam mungkin anda boleh amalkan ayat kursi sebagai pelindung diri jika merasakan sesuatu yang menganggu fikiran.
Kesimpulan
Sleep paralysis atau lumpuh tidur bukanlah satu keadaan misteri yang berkaitan dengan aktiviti paranormal dan misteri. Terdapat banyak kajian saintifik telah dikeluarkan bagi merungkai kecelaruan masyarakat sejak sekian lama. Oleh itu, kita jangan mudah terpedaya dengan cerita turun temurun yang tidak terbukti kesahihannya dari sudut agama dan sains. Alam ghaib sememangnya wujud namun alam ghaib bukanlah hanya terbatas kepada jin dan syaitan semata-mata kerana makna alam ghaib itu sendiri sangatlah luas menurut perspektif agama.
Lumpuh tidur bukanlah satu penyakit yang serius namun ianya memberi pengalaman yang cukup menakutkan. Oleh hal yang demikian, jaga waktu tidur anda dengan betul. Pastikan tidur anda mencukupi tanpa ada sebarang gangguan.
Rujukan
(1) Kompas.com (2018) “Ketindihan” Saat Tidur, Fenomena Apakah Ini Menurut Sains? Sumber dipetik daripada https://sains.kompas.com/read/2017/12/24/200400223/-ketindihan-saat-tidur-fenomena-apakah-ini-menurut-sains-?page=all
(2) WebMD (2020) Sleep Paralysis. Sumber dipetik daripada https://www.webmd.com/sleep-disorders/sleep-paralysis
(3) Divineinnerhealth.com (2020) Lumpuh tidur: sebab, tanda, prinsip diagnosis dan rawatan. Sumber dipetik daripada https://ms.divineinnerhealth.com/paralich-sna-prichiny.php
(4) Mohammad Nazri Zulkafli (2020) Rasa Kena Tindih Ketika Tidur Bukan Sebab Hantu, INI Sebenarnya Terjadi! Sumber dipetik daripada https://hellodoktor.com/gaya-hidup-sihat/tidur/kena-tindih-ketika-tidur-ini-sebabnya/#gref