BEIJING – Pengunjung perlu mendaki sebanyak 8,000 anak tangga untuk menuju ke dua kuil kecil yang terdapat di atas puncak batu yang berpecah di selatan China.
Gunung Fanjing adalah rumah yang mempunyai pemandangan paling indah di dunia yang menempatkan dua kuil yang dibina di atas puncak batu yang berpisah. Dua kuil tersebut dihubungkan menggunakan jambatan melengkung mengadap pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan.
Tambahnya, kuil yang berusia lebih 500 tahun itu telah dibina di atas puncak gunung yang dikenali sebagai Red Clouds Golden Peak di mana ia didakwa dibina sejak zaman Dinasti Ming dahulu.
Persoalan di sini, bagaimana masyarakat Buddha dahulu berjaya membawa bahan binaan dengan laluan yang berbatu tanpa bantuan teknologi moden. Ini menjadi suatu tanda tanya yang misteri dan tidak dapat diketahui sehingga sekarang.
Walau bagaimanapun, sekarang kompleks kuil telah ditambah baik sesuai dengan penampilan asalnya. Ia menggunakan bahan seperti jubin besi supaya dapat menahan angin kuat dan persekitaran puncak gunung yang berbahaya.
Laporan mengatakan bahawa Kuil Buddha tersebut didedikasikan untuk Sakiymuni yang mewakili masa kini manakala Kuil Maitreya sebagai pengganti Sakiymuni yang akan mewakili masa hadapan. Gunung Fanjing menempatkan sekitar 50 kuil Buddha tidak termasuk kedua-dua kuil di puncak Red Clouds Golden Peak.
Sumber: Oddity Central