AUSTRALIA – Seorang bayi berusia satu tahun dilaporkan sedang bertarung nyawa di sebuah hospital selepas dipercayai tertelan syabu dalam kuantiti yang banyak ketika mengunjungi sebuah apartment bersama ibunya.
Menurut Daily Star, bayi tersebut ditemui di sebuah apartment di Australia bersama ibunya yang berusia 20 tahun pada 6 November yang lalu. Dikatakan ibu mangsa pergi ke apartment tersebut untuk melepaskan giannya dengan syabu.
Pihak polis mendakwa ibu dan tiga rakannya yang lain menyedari kejadian tersebut apabila mereka merasa sesuatu yang tidak kena dengan bayi berkenaan. Bayi tersebut mula muntah dan tidak sedarkan diri.
Pemangku Detektif, Troy Penrose mengatakan bahawa mereka bertindak membawa bayi tersebut ke tingkat bawah bangunan dan kejadian tersebut menarik tumpuan seorang pejalan kaki. Disebabkan itu, sebuah ambulans dipanggil dan bayi yang sudah kritikal tersebut dikejarkan ke hospital yang berhampiran iaitu Hospital Gold Coast.
Menurut Courier-Mail, jurucakap pihak polis mendakwa ujian mendapati dadah jenis metamfetamin ditemui di dalam sistem bayi berkenaan. Walau begitu, penerbitan berkenaan tidak pasti sama ada bayi tersebut sengaja diberikan syabu atau termakan syabu itu.
Bagaimanapun, bayi tersebut dipercayai sudah pulih tetapi pihak berkuasa tetap menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan. Malah, ibu bayi itu didakwa telah menyerah diri kepada polis pada 16 Disember lalu.
Sumber: Daily Star