TOKYO – Lebih 1,000 pemandu di Jepun dilapor terkandas di Lebuhraya Kanetsu yang menghubungkan wilayah Tokyo selama 40 jam disebabkan ribut salji yang lebat. Disebabkan itu, pihak berkuasa terpaksa menutup pintu masuk lebuh raya tersebut bagi mengelakkan kesesakan menjadi lebih teruk.
Bukan itu sahaja, semua mereka dipercayai hanya mempunyai sedikit makanan dan minuman untuk menghadapi kesesakan tersebut dalam tempoh yang lama.
Syarikat Lebuhraya Nippon (NEXCO) yang mengendali lebuh raya negara itu berkata, kesesakan tersebut bermula ketika sebuah kereta terkandas dalam salji yang tebal di tengah jalan raya. Hal ini menyebabkan lebuh raya berkenaan terhalang untuk kenderaan melaluinya.

Tambahnya, kesesakan jalan raya tersebut terjadi pada hari Khamis malam dengan kesesakan sepanjang 15 kilometer dan dilaporkan mereka semua tidak dapat bergerak selama 40 jam. Berikutan itu, pasukan bantuan didakwa telah menghantar bekalan makanan dan minuman seperti nasi, roti, keropok, makanan ringan, 600 botol air dan lribuan liter petrol serta minyak diesel.
“Salji sangat lebat. Seiring berjalannya waktu, terdapat beberapa kenderaan yang mula tertimbus. Saya benar-benar takut.
“Saya sudah makan semua makanan dan minuman saya. Sekarang, untuk minum air, saya perlu mencairkan salji yang saya kumpulkan dalam botol plastik,” kata seorang pemandu.

Seorang wanita berusia 30-an dan seorang lelaki berusia 60-an dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan dan loya, menurut pegawai pengurusan krisis Niigata, Tsuyoshi Watanabe. Walau bagaimanapun, tidak ada kejadian maut atau serius yang dilaporkan.
Sumber: CNN.Com