KUALA LUMPUR, 21 Dis — Polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM134,120 susulan penahanan seorang lelaki tempatan di sebuah residensi di Taman Mastiara, di sini, Khamis lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Adnan Azizon berkata suspek berusia 43 tahun yang dipercayai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang berkenaan ditahan di tempat letak kereta di kawasan residensi itu pada 5.20 petang.
Beliau berkata semasa ditahan, serangkai kunci mengandungi enam anak kunci ditemukan di badan suspek dan hasil soal siasat telah membawa ke sebuah rumah di Taman Mastiara.
“Selain itu, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah RM300 dalam serbuan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis serbuk MDMA, ekstasi, erimin 5 dan ketamin di sekitar Lembah Klang.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula 18 Dis hingga Khamis ini (24 Dis) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
— BERNAMA