Kebanyakan haiwan sering menunjukkan emosi dan kelakuannya melalui ekpresi muka atau pergerakan badannya. Contoh yang paling mudah untuk difahami adalah anjing. Anjing mempunyai emosi yang mudah diketahui dengan melihat ekpresi muka seperti marah, lapar, sedih dan sebagainya. Berbeza pula dengan kucing, haiwan ini sukar untuk mengenal pasti emosinya namun ia memberi petunjuk dengan cara yang lain.
Ada sesetengah mempercayai kucing boleh menunjukkan reaksi seperti anjing. Cuma sukar untuk kita fahami apa sebenarnya yang mereka cuba untuk sampaikan. Kadangkala ada kucing yang sengaja menggerakkan ekornya untuk memberitahu isyarat yang mereka selesa dengan kawasan disekelilingnya.
Begitu sukar untuk mempelajari isyarat yang diberikan oleh kucing. Bagi yang cuba berkomunikasi dengan kucing pasti menantikan reaksi kucing seperti yang diharapkan. Namun ada sesetengah berasa kesal kerana kadangkala boleh salah faham dengan tindakan dan emosi mereka.

Kenapa kucing suka tunjukkan punggungnya?
Kucing kebiasaanya memberi komunikasi secara visual kepada manusia. Setiap daripada pergerakan telinga, ekor, mata dan punggung menunjukkan isyarat yang mudah difahami oleh kucing-kucing lain dan juga manusia.
Pergerakan ekor kucing adalah menjadi satu tindak laku yang normal oleh semua kucing, namun seringkali kucing menunjukkan punggungnya kepada manusia sambil menggeselkan kepala membawa maksud yang tertentu. Sukar untuk kita tafsirkan kemahuan mereka. Tetapi menurut The Spruce Pets, dalam dunia kucing mereka suka pamerkan punggungnya supaya dapat dilihat dan mengenali sesama kucing yang lain. Hal ini sama seperti dengan manusia ketika berjabat tangan dan ingin berkenalan antara satu sama lain.
Jadi apabila kucing menunjukkan punggungnya kepada kita, mungkin mereka ingin ditegur oleh kita atau sekadar inginkan perhatian daripada kita.
Kebanyakan dari mereka yang telah lama pelihara dan menjaga kucing mengaku bahawa kucing yang suka menunjukkan punggungnya akan meninggalkan bau yang kurang menyenangkan. Namun disebabkan perasaan sayang membuatkan pemilik kucing sudah terbiasa dengan keadaan itu.

Pertunjukkan punggung kucing
Bau yang kurang menyenangkan daripada kucing adalah daripada kawasan punggung di bawah ekornya. Selalunya anak kucing menjatuhkan ekornya ke bawah dan tidak mahu dihidu oleh sesiapa. Perkara ini mungkin boleh disamakan dengan seseorang yang malu menyembunyikan mukanya untuk tidak dilihat oleh sesiapa.
Setiap kucing yang mengangkat ekornya adalah bermaksud tiada ancaman yang diberikan. Justeru, kucing yang mengangkat ekor sambil menghidu punggungnya adalah disamakan dengan ciuman di pipi antara manusia dengan manusia dan sama seperti memberi salam kepada yang lain.

Namun begitu, adakah kucing yang mengangkat ekornya memberi tanda supaya kita perlu menghidu punggungya? Sudah tentu ianya tidak sama sekali. Kucing sememangnya bijak dan tahu bahawa manusia yang memahaminya akan melihat dari segi isyarat bahasa badan yang ditunjukkan. Mereka melakukan isyarat bahasa badan yang sopan untuk ditunjukkan kepada manusia seperti mengangkat ekor dan menunjukkan punggungnya kepada kita. Selain daripada memberi mereka pujian, kucing juga suka dibelai dan suka untuk menghidu manusia supaya mereka mendapatkan perasaan yang tenang dan selamat.
Sumber : thesprucepets.com