Tinggal bebeberapa hari sahaja lagi akan masuk tahun baru 2021. Mungkin pada tahun 2020 ramai yang terkesan disebabkan kehilangan pekerjaan dan kekurangan wang simpanan. Pandemik Covid-19 yang melanda di negara kita benar-benar mengubah ekonomi dan mengubah kehidupan seharian kita semua dengan norma baharu.
Namun begitu, kita tidak boleh mengalah dan perlu merancang sesuatu yang baru terutamanya dalam aspek kewangan menjelang tahun 2021. Selepas ramai kehilangan pekerjaan yang tetap semasa pandemik Covid-19, pasti ramai yang membuat pekerjaan sampingan untuk menampung diri dan keluarga. Virus yang melanda ke negara kita mengajar kita betapa pentingnya untuk membuat simpanan bagi kegunaan pada masa akan datang.
Oleh itu, sebelum berakhir tahun 2020, gunakan masa yang ada untuk rancang dan urus kewangan pada tahun 2021. Pengurusan kewangan yang baik akan memberi anda mencapai matlamat seperti yang anda inginkan. Walaupun ia sedikit, tetapi sangat bermakna lebih-lebih lagi dalam urusan kecemasan. Justeru, apakah yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat kewangan pada tahun 2021?
(1) Tentukan matlamat kewangan
Menjelang tahun baru, tentukan matlamat kewangan untuk disalurkan ke arah mana. Anda boleh merancang kewangan anda sama ada dicapai dalam jangka masa pendek atau panjang. Mungkin anda boleh tetapkan kewangan anda untuk bayar hutang kad kredit, bayar rumah, bayar kereta dan sebagainya.
Matlamat kewangan yang berkesan biasanya merangkumi semua aspek yang ada dalam formula SMART goals. Bagi mereka yang ingin mencapai matlamat kewangan dengan jelas dan tepat boleh rujuk dengan soalan yang dibawah :
Specific (Spesifik) – (Apa yang anda ingin capai? Mengapa matlamat ini penting? Siapa yang terlibat? Di mana ia berada?)
Measurable (Boleh Diukur) – (Berapa banyak? Bagaimana anda boleh tahu bila matlamat dapat dicapai?)
Achievable (Boleh Dicapai) – (Bagaimana anda dapat capai matlamat ini? Adakah matlamat ini kedengaran realistik?)
Relevant (Munasabah) – (Adakah matlamat ini bermanfaat? Adakah ini masa yang sesuai? Adakah matlamat ini sesuai dengan usaha/keperluan kita yang lain?)
Time Bound (Ditetapkan Tempoh) – (Bila? Apa yang anda boleh lakukan 6 minggu/bulan dari sekarang? Apa yang anda boleh lakukan hari ini?)
Satu contoh matlamat kewangan yang mengaplikasikan SMART goals adalah simpan RM1000 setiap bulan selama setahun untuk bina dana kecemasan. Sebab ia fokus apa yang anda ingin capai, amaun setiap bulan, masa untuk simpan dan akhirnya sebab anda simpan. Jadi, belajar gunakan formula SMART untuk tentukan matlamat anda dengan lebih teliti.
(2) Buat tabung kecemasan
Tabung kecemasan penting bagi kegunaan yang tidak dijangkakan. Contohnya bagi mereka yang hilang pekerjaan, mereka boleh menggunakan duit tabung kecemasan untuk membeli barang-barang harian yang penting atau kecemasan kesihatan. Pakar kewangan menyarankan amaun yang digunakan sebanyak 3 hingga 6 bulan perbelanjaan. Contohnya jika perbelanjaan bulanan anda adalah RM2,000. Amaun yang anda perlukan untuk menampung keperluan anda adalah RM12,000 (RM2,000 X 6).
Walaupun jumlah yang disarankan agak besar, namun terdapat cara lain untuk simpan duit. Contohnya apabila anda sudah menerima gaji, keluarkan gaji anda sebanyak 20% untuk dijadikan sebagai tabung kecemasan. Selain daripada itu, anda juga boleh bina tabung kecemasan dengan cara buka dua akaun simpanan iaitu satu untuk gaji satu lagi untuk wang simpanan. Cara ini berkesan untuk mereka yang ingin simpan duit untuk kecemasan pada masa akan datang.
(3) Belajar melabur
Simpanan wang di akaun simpanan sahaja akan menyebabkan kadar dividen tidak mencukupi disebabkan oleh kadar inflasi. Selain daripada menyimpan dalam akaun ASB atau Tabung Haji, anda boleh cuba guna perkhidmatan robo-advisor di mana nasihat kewangan dan pengurusan pelaburan diuruskan oleh penasihat kewangan yang dikenali sebagai ‘robo-advisor’. Bagi mereka yang masih baru untuk belajar melabur sangat sesuai untuk melakukan perkhidmatan ini kerana modal permulaanya hanya serendah RM100
(4) Selesaikan hutang
Sebelum masuk tahun baru, senaraikan semua hutang yang anda ada dan buat rancangan untuk selesaikan paling tinggi dahulu. Anda perlu langsaikan hutang yang kadar faedahnya paling mahal dan dalam jangka masa yang panjang, anda boleh jimat atas jumlah faedah. Contohnya jika anda membuat pinjaman kad kredit jangan hanya membuat bayaran minima kerana faedah kad kredit dikira atas jumlah terkumpul hutang pada setiap bulan.
Justeru, paling penting dalam urus kewangan tahun 2021 ialah perlu mempunyai disipin dan mempunyai kawalan terhadap perbelanjaan diri sendiri. Pastikan anda bayar ansuran bulanan tepat pada waktunya dan kawal perbelanjaan bulanan anda. Semakin lama anda tangguh untuk bayar hutang, semakin banyak hutang yang anda kumpulkan.
Sumber : directlending.com