Siakap Keli
Gambar : Google

7 Tips Untuk Bina Dan Capai Azam Tahun Baru 2021

Tahun 2020 hampir melabuhkan tirainya. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut tahun baru 2021. Pasti ramai yang sedih meninggalkan kenangan pahit, manis, suka dan duka perjalanan hidup sepanjang tahun 2020. Tak mengapa, jadikan kenangan pahit dan manis sebagai pengajaran dan kekuatan untuk kita teruskan kehidupan pada tahun baru akan datang.

Setiap kali masuk tahun baru, perkara utama yang sering diperkatakan adalah berkaitan dengan azam baru. Ramai mengambil kesempatan dan peluang ini untuk mencipta azam baru. Setiap orang mempunyai azam yang berbeza-beza. Ramai memilih untuk menjadi lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Bagi mereka yang belum memikirkan atau menetapkan lagi azam tahun baru, jangan risau kerana masih ada masa untuk berfikir dan merancang sesuatu untuk tahun baru. Jadi, apa perkara yang perlu kita buat apabila menjelang tahun baru 2021? Kami akan kongsikan beberapa perkara yang perlu dilakukan untuk bina azam baru pada tahun 2021:

(1) Tetapkan matlamat dengan jelas

Bagi anda yang berazam untuk memperbaiki perjalanan yang baru dalam kehidupan, penting untuk anda menetapkan pencapaian dan matlamat dengan lebih jelas. Hal ini kerana anda boleh mengambil kira perkara-perkara yang diperlukan dengan lebih mudah dan teratur sepanjang kehidupan pada tahun baru. Bukan itu sahaja, apabila anda mempunyai matlamat yang jelas, ia dapat membantu anda menjadikan anda seorang yang berjaya tanpa menoleh ke belakang.

Sebagai contohnya, jika anda seorang pelajar universiti, semestinya anda ingin mencapai keputusan yang cemerlang dalam setiap matapelajaran yang dipelajari. Bagi menjadikannya lebih mudah untuk dicapai, anda perlu menetapkannya dengan lebih khusus lagi seperti, memperolehi gred A untuk setiap matapelajaran. Dengan ini, anda boleh lihat dan nilai matlamat anda dengan jelas supaya ia dapat dicapai dengan berkesan dan berjaya.

(2) Belajar daripada kesilapan lepas

Apabila masuk saja tahun baru, kita jadikan tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Sekiranya azam pada tahun lepas tidak tercapai, kita boleh berusaha lagi pada tahun baru. Lupakan semua kegagalan yang pernah dialami pada tahun sebelumya dan jadikan tahun baru sebagai titik permulaan untuk kita belajar dari kelemahan dan kesilapan untuk mencari kekuatan yang baru.

Mungkin dari tahun sebelumnya kita banyak membuat kesalahan secara sengaja atau tidak sengaja. Oleh itu, tanamkan tekad dalam diri supaya tidak akan mengulangi kesilapan yang lepas dan berusaha memperbaiki diri dengan lebih baik supaya apa yang kita impikan akan menjadi kenyataan.

(3) Mengubah gaya pemikiran dan mentaliti

Gaya pemikiran seseorang sukar untuk diubah kerana ianya bergantung kepada didikan dan persekitaran daripada keluarga semasa kita kecil. Namun itu bukanlah alasan untuk kita memperbaiki gaya pemkiran dan mentaliti ke arah yang lebih baik. Kebiasaannya perubahan mentaliti akan diikuti dengan sikap dan kelakuan yang kita lakukan.

Berikut merupakan antara contoh mentaliti yang baik perlu dicontohi menjelang tahu baru 2021:

  • Berhenti mengharap ihsan pihak lain untuk menaikkan tahap kualiti kehidupan kita.
  • Kebersihan sesuatu kawasan adalah tanggungjawab semua orang, bukan hanya tukang bersih.
  • Meneliti pandangan dan pendapat orang lain, bukan memikirkan hanya kita sahaja yang betul.
  • Memeriksa sumber sesuatu perkara atau berita sebelum menyebarkannya.
  • Berfikir sebelum bercakap, dan lebih baik diam dan belajar dahulu sekiranya kita tiada ilmu mengenainya.
  • Jika sesuatu masalah itu boleh diselesaikan, maka selesaikannya. Jika mustahil, maka ia adalah di luar kawalan kita dan kita tidak perlu bimbang atau stres.
  • Sentiasa menimba ilmu pengetahuan walaupun sudah meninggalkan sekolah dan universiti.
  • Buang victim mentality dan berhenti merungut! Kalau tidak suka sesuatu, ambil tindakan untuk mengubah keadaan.

(4) Luangkan lebih banyak masa dengan keluarga

Keluarga merupakan tulang belakang yang penting kepada kita dalam memberi semangat dan sokongan dalam apa jua bidang yang kita ceburi. Tanpa keluarga mungkin kita tidak dapat menyelesaikan masalah dan sentiasa dibelenggu dengan pelbagai kepahitan. Oleh itu, hargailah keluarga yang ada. Luangkan masa yang ada dengan melakukan pelbagai aktiviti seperti bercuti atau menikmati masa di rumah bersama-sama.

Jika tahun sebelumnya anda sibuk dengan dunia pekerjaan, tanamkan azam untuk tahun baru supaya sentiasa mencari masa bersama keluarga. Bagi mereka yang bekerja di bandar, cari masa untuk pulang ke kampung halaman untuk berjumpa dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang lain.

(5) Banyakkan membaca dan kuasai ilmu

Bila masuk tahun baru, semuanya baru. Azam baru, tahun baru dan umur pun baru. Jadi pada tahun baru ini, apa kata kita perbanyakkan ilmu dan belajar sesuatu yang baru. Mungkin pada tahun-tahun sebelum ini kita mempelajari ilmu yang sedikit, namun pada tahun baru kita boleh menambahkan lagi ilmu-ilmu yang ada kerana ilmu itu luas dan tidak pernah rugi jika selalu dicari. Sebagai contohnya, jika dulu kita tidak mahir dalam masakan, mungkin masuk tahun baru kita sudah mahir dalam pelbagai jenis masakan.

Selain itu, bagi yang beragama islam mungkin boleh perbaiki diri dalam ibadah seperti solat di awal waktu, berpuasa penuh di bulan Ramadhan dan sebagainya. Mengusai ilmu pengetahuan akan memberi satu sinaran dan kejayaan kepada kita pada masa akan datang.

(6) Buang tabiat buruk

Manusia tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Namun, itu bukanlah satu alasan untuk kita tidak perbaiki diri. Jika kita banyak melakukan tabiat buruk pada tahun-tahun lepas, kita masih berpeluang untuk hindarkan dan  berazam untuk lakukan perkara yang baik pada tahun baru. Antara tabiat buruk yang boleh dibuang dalam hidup sepanjang tahun lepas adalah :

a. Suka menangguh kerja

b. Tidak menjaga kebersihan

c. Tidak menepati masa

d. Suka mengumpat

e. Sering mengeluh

f. Malas berusaha

Jika anda buang perkara-perkara di atas dalam hidup, mungkin azam baru tahun 2021 akan tercapai. Selagi anda masih hidup, ubahlah perkara buruk yang lepas dan tukar kepada perkara yang baik.

Sumber : majalahlabur.com

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.